Bersatu cabar bubar, Pas tak setuju PRU awal

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim membubarkan Parlimen susulan keyakinan Perdana Menteri bahawa Kerajaan Madani mempunyai kelebihan memenangi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) jika ia diadakan dalam tempoh terdekat.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mendakwa, dengan pembubaran Parlimen, PRU16 boleh diadakan dengan segera memandangkan rakyat kini sudah tidak sabar mahu ubah kerajaan.

“Memandangkan beliau rasa boleh menang, segerakan pembubaran sebab rakyat juga sudah tidak sabar mahu ubah Perdana Menteri dan kerajaan. Mereka sudah tidak tahan (tidak lagi boleh bersabar mahu tukar kerajaan)," katanya.

Menurut Tun Faisal, kenyataan Anwar berhubung dasar kerajaan yang mementingkan aspek pengurusan ekonomi sama sekali tidak menunjukkan situasi sebenar dihadapi rakyat.

“Ini kerana, jualan runcit lebih teruk dan menurun berbanding Covid-19 pada 2022 yang mana data jualan lebih tinggi waktu itu. Begitu juga dengan keadaan perniagaan (kini) yang tidak rancak kerana rakyat berhati-hati dalam berbelanja ekoran keupayaan membeli berkurangan,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Sebelum ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan menyuarakan keyakinan Kerajaan Madani mempunyai kelebihan memenangi PRU16 jika diadakan dalam tempoh terdekat.

Ahli Parlimen Tambun itu berkata, keyakinan tersebut berdasarkan kerangka pentadbirannya yang mementingkan aspek pengurusan ekonomi.

Mengulas lanjut, Tun Faisal yakin, rakyat bijak dalam membuat pilihan antara Perikatan Nasional (PN) dan gabungan Kerajaan Perpaduan.

Jelasnya, ketika Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri, isu kebajikan rakyat dapat ditangani dengan lebih baik berbanding ketika ini.

“Kalau kita tengok di bawah kepimpinan sekarang... sudah dua tahun kita tidak nampak bantuan yang banyak kepada rakyat selain kenaikan skop cukai yang membebankan.

“Begitu juga ekonomi, rakyat makin susah. Jadi saya yakin bahawa rakyat akan beri sokongan kepada PN,” ujarnya.

Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin turut bersetuju agar PRU16 diadakan lebih awal.

“Ini adalah satu kenyataan yang jujur tapi bagaimana Perdana Menteri boleh berpendapat sedemikian (yakin untuk menang PRU) sedangkan prestasi menterinya kurang memuaskan?

“Apa-apa pun, kita (pembangkang) gembira jika Anwar mahu mengadakan PRU16 dengan lebih awal,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau turut berharap agar hasrat yang dinyatakan itu bukan sekadar kata-kata dusta.

Namun, Pas mempunyai pandangan berbeza apabila Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari tidak bersetuju PRU16 diadakan dalam masa terdekat kerana tidak bertepatan dengan situasi terkini yang dihadapi oleh rakyat.

“Kasihan kepada rakyat. Sewaktu rakyat bergelut dengan kos sara hidup semakin tinggi, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula berkata... jika buat PRU sekarang, kerajaan akan menang.

“Nasiblah rakyat mendapat kerajaan seperti hari ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Ahad.

INFO PRK

28 September 2024

PRK DUN Mahkota, Johor N.29

Syed Hussien Syed Abdullah (BN) - 27,995 undi

Mohamad Haizan Jaafar (PN) - 7,347 undi

(Majoriti 20,648 undi)

17 Ogos 2024

PRK DUN Nenggiri, Kelantan N.43

Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani (BN) - 9,091 undi

Mohd Rizwadi Ismail (Pas) - 5,739 undi

(Majoriti 3,352 undi)

6 Julai 2024

PRK DUN Sungai Bakap, Pulau Pinang N.20

Abidin Ismail (PN) - 14,489 undi

Dr Joohari Ariffin (PH) - 10,222 undi

(Majoriti 4,267 undi)

11 Mei 2024

PRK DUN Kuala Kubu Baharu, Selangor N.06

Pang Sock Tao (PH) - 14,000 undi

Khairul Azhari Saut (PN) - 10,131 undi

Eris Nyau Ke Xin (Bebas) - 188 undi

Hafizah Zainuddin (PRM) - 152 undi

(Majoriti 3,869 undi)

2 Disember 2023

PRK Parlimen Kemaman, Terengganu P.040

Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (Pas) - 64,998 undi

Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi (BN) - 27,778 undi

(Majoriti 37,220 undi)

4 November 2023

PRK DUN Jepak, Sarawak N.67

Iskandar Turkee (GPS) - 9,638 undi

Stevenson Joseph Sumbang (PBK) - 854 undi

Chieng Lea Phing (Aspirasi) - 431 undi

(Majoriti 8,784 undi)

7 Oktober 2023

PRK DUN Pelangai, Pahang N.36

Datuk Amizar Abu Adam (BN) - 7,324 undi

Kasim Samat (PN) - 4,375 undi

Haslihelmy DM Zulhasli (Bebas) - 47 undi

(Majoriti 2,949 undi)

9 September 2023

PRK DUN Pulai, Johor N.161

Suhaizan Kayat (PH) - 48,283 undi

Zulkifli Jaafar (PN) - 29,642 undi

Samsudin Mohamad Fauzi - 528 undi

(Majoriti 18,641 undi)

9 September 2023

PRK DUN Simpang Jeram, Johor N.13

Nazri Abdul Rahman (PH) - 13,844 undi

Dr Mazri Yahya (PN) - 10,330 undi

S Jeganathan (Bebas) - 311 undi

(Majoriti 3,514 undi)

12 Ogos 2023

PRK Parlimen Kuala Terengganu, Terengganu P.036

Datuk Amzad Hashim (Pas) - 68,369 undi

Azan Ismail (PH) - 21,103 undi

(Majoriti 47,266 undi)