Sekarang bukan waktu sesuai, elok sampai habis penggal - Penganalisis

SHAH ALAM - Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim berdepan cabaran besar untuk mengekalkan kemenangan sekiranya PRU16 diadakan dalam waktu terdekat.

Penganalisis politik daripada Universiti Malaysia Terengganu, Profesor Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, situasi berkenaan mengambil kira beberapa faktor.

“Pada pandangan saya, sekarang bukan waktu sesuai, sangat berisiko jika kerajaan buat pilihan raya dalam situasi banyak faktor masih tidak menentu khususnya dalam aspek kerjasama politik dan jaminan sokongan segmen Melayu.

“Lebih baik kerajaan habiskan penggal yang ada ini, dan isi waktu yang berbaki ini untuk tingkatkan lagi pencapaian. Dalam tempoh tersebut boleh teruskan khidmat untuk meningkatkan lagi penerimaan dan sokongan rakyat.

“Walaupun sekarang kerjasama dalam Perikatan Nasional juga agak longgar, namun sekarang bukanlah waktu terbaik,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Anwar yang menyuarakan keyakinan Kerajaan Madani mempunyai kelebihan memenangi PRU jika diadakan dalam tempoh terdekat.

Ditanya mengenai faktor yang mendorong keyakinan Anwar berkenaan, Mohd Yusri berkata, ia kemungkinan dinilai atas tiga perkara iaitu prestasi ekonomi yang agak baik, peningkatan harga komoditi dan pelarasan gaji penjawat awam.

Namun katanya, dalam realiti politik Malaysia hari ini, banyak faktor lain turut mempengaruhi kemampuan parti Kerajaan Perpaduan untuk menang jika PRU16.

“Paling penting adalah koalisi politik. Sehingga sekarang gabungan parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan belum membuat keputusan konkrit sama ada akan terus bekerjasama atau tidak dalam PRU akan datang.

“Kerjasama parti-parti politik sangat penting untuk memberi keyakinan kepada rakyat terhadap kerajaan yang akan dibentuk selepas PRU nanti.

“Untuk mendapat sokongan dan keyakinan rakyat, Kerajaan Perpaduan yang membentuk Malaysia Madani perlu segera mengumumkan kerjasama mereka akan diteruskan dalam PRU16 nanti,” katanya.