Kenyataan bersifat peribadi atau campuri urusan kehakiman?

KENYATAAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai pendakwaan yang dibuat selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dibuat terburu-buru sehingga banyak ‘kecacatan’, boleh mencetuskan persepsi wujudnya pengaruh politik ke atas proses undang-undang.

Ketua Pusat Pengajian Hubungan Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Hussain Yusri Zawawi berkata, biarpun dari segi teknikal kenyataan tersebut tidak semestinya melanggar prinsip pembahagian kuasa, ia boleh menjejaskan imej autonomi institusi kehakiman.

“Dalam konteks politik dan pentadbiran, isu kenyataan Perdana Menteri mengenai pendakwaan kes berprofil tinggi perlu dianalisis berdasarkan konsep pembahagian kuasa (separation of powers), prinsip keluhuran undang-undang (rule of law) dan implikasi terhadap legitimasi politik.“Isu ini menimbulkan persoalan tentang sejauh mana peranan eksekutif dalam mengawasi institusi kehakiman tanpa menjejaskan kebebasan badan tersebut. Jika tidak ditangani dengan teliti, ia boleh membawa kepada judicial politicization, di mana keputusan kehakiman dipengaruhi oleh tekanan atau persepsi politik,” katanya kepada Sinar Premium.

Menurut Hussain Yusri, apabila seorang Perdana Menteri memberikan pandangan peribadi mengenai kes berprofil tinggi, terdapat risiko ia dianggap sebagai usaha untuk mempengaruhi proses keadilan, walaupun niat sebenar mungkin untuk membetulkan persepsi rakyat.

“Di Malaysia, Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kebebasan badan kehakiman untuk mentafsir dan melaksanakan undang-undang tanpa campur tangan mana-mana pihak termasuk badan eksekutif.

“Dalam konteks ini, kenyataan Perdana Menteri boleh mencetuskan persepsi bahawa eksekutif cuba mencabar autonomi kehakiman, sekali gus menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap sistem keadilan,” katanya.

Hussain Yusri juga tidak menafikan bahawa kenyataan seperti itu boleh dianggap sebagai usaha melindungi individu tertentu atau mencampuri urusan kehakiman yang boleh menjejaskan legitimasi politik kerajaan.

“Rakyat sering menilai tindakan pemimpin berdasarkan persepsi, bukan hanya fakta. Malah, kenyataan yang dilihat mengganggu kebebasan badan ini boleh memberi kesan jangka panjang terhadap kestabilan demokrasi.

“Di Malaysia, hubungan antara eksekutif dan kehakiman sering menjadi subjek perdebatan, terutamanya sejak krisis kehakiman pada tahun 1988. Oleh itu, kenyataan Perdana Menteri harus berhati-hati agar tidak membuka ruang kepada tuduhan bahawa wujud pengulangan episod lampau,” jelasnya.

Justeru, Hussain Yusri berpandangan kenyataan seorang Perdana Menteri mengenai pendakwaan kes berprofil tinggi memerlukan penelitian yang mendalam kerana ia melibatkan keseimbangan antara kebebasan bersuara dan tanggungjawab menjaga integriti institusi kehakiman.

“Pemimpin politik bertanggungjawab memastikan institusi kekal adil dan bebas daripada prasangka politik. Oleh itu, walaupun tidak salah bagi Perdana Menteri menyuarakan pandangan, ia mesti dilakukan dengan penuh kebijaksanaan untuk memastikan prinsip pembahagian kuasa terpelihara.

“Sebarang kenyataan harus mengutamakan kepercayaan rakyat terhadap sistem keadilan, memelihara kestabilan politik, dan memastikan bahawa badan kehakiman dapat melaksanakan tugas tanpa tekanan atau persepsi pengaruh politik,” ujarnya.

Hanya pandangan peribadi

Bagaimanapun, peguam Mohd Ridwan Talib mempunyai pandangan sebaliknya yang menyatakan bahawa kenyataan Anwar lebih bersifat peribadi dan tidak menjejaskan kualiti pendakwaan serta prosiding di mahkamah.

“Oleh kerana kenyataan tersebut lebih cenderung kepada politik, ia tidak mempengaruhi keputusan hakim diakhir perbicaraan.

“Lagi pula, kes berkenaan sudah berakhir dan kini tertakluk kepada rayuan oleh pihak pendakwaan. Oleh itu, kenyataan Perdana Menteri juga tidak bersifat subjudis yang boleh mengganggu kelancaran perbicaraan di mahkamah,” katanya.

Malah, Mohd Ridwan berkata, Perlembagaan Persekutuan telah menggariskan batasan fungsi dan kuasa antara Perdana Menteri dan Peguam Negara dengan jelas.

“Di bawah Artikel 39 Perlembagaan Persekutuan, Perdana Menteri bertindak sebagai ketua terhadap Kabinet yang mengepalai pelaksanaan polisi kerajaan seperti yang telah diputuskan di Parlimen. Peguam Negara pula merupakan penasihat rasmi undang-undang kepada Perdana Menteri seperti yang dinyata dalam Artikel 145 (2) Perlembagaan Persekutuan.

“Secara khususnya, kuasa mendakwa di mahkamah tiada kaitan dengan kuasa Perdana Menteri. Hal ini kerana menurut Artikel 145 (3) hanya Peguam Negara mempunyai kuasa mendakwa dalam semua kes jenayah, kecuali di Mahkamah Syariah, Mahkamah Tentera dan Mahkamah Anak Negeri,” jelasnya.

Menurut Mohd Ridwan, kenyataan Perdana Menteri tidak sama sekali memberi impak terhadap kebebasan dan integriti sistem kehakiman serta proses pendakwaan di negara ini.

“Kebebasan dan integriti badan Kehakiman dan Jabatan Peguam Negara kekal utuh. Peruntukan undang-undang yang sedia ada sudah mencukupi untuk melindungi ketulusan dua organ kerajaan yang penting ini.

“Sebaliknya, tumpuan diberi kepada usaha kerajaan Madani yang sedang giat melaksana penambahbaikan terhadap jentera pendakwa raya melalui pengasingan kuasa antara Peguam Negara (AG) dan Juragan Pendakwaan (PP) di Jabatan Peguam Negara agar AG dapat melaksana tugas sebagai penasihat rasmi undang-undang tanpa dilihat bersikap berat sebelah dalam keputusan mendakwa,” ujarnya.