Institusi perubatan awam makin parah - Gerakan

KUALA LUMPUR - Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menyifatkan institusi perubatan awam dalam negara menghadapi gelombang besar dan parah.

Menurut Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, ini ekoran peletakan jawatan lebih 6,000 doktor sepanjang lima tahun lalu seperti mana menurut laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ujarnya, ia bukan sahaja kerana tekanan dan beban kerja berlebihan tetapi juga disebabkan kekurangan kemudahan asas lengkap, termasuk sistem komputer yang efisien.

"Walaupun untuk menjejak laporan ujian darah yang mudah, doktor tidak dapat mengaksesnya melalui sistem komputer.

"Sebaliknya, ia perlu dilakukan secara manual dengan menyemak dokumen fizikal," katanya dalam satu kenyataan kepada pemberita pada Isnin.

Ujarnya, banyak negara sudah maju ke arah penggunaan kecerdasan buatan, tetapi doktor di hospital kerajaan masih tidak mempunyai sistem komputer asas dan terpaksa mencatat laporan perubatan secara manual.

Dominic mengambil contoh Hospital Selayang, ujarnya, pada awalnya ia dikatakan akan menjadi sebuah hospital moden tanpa kertas.

"Namun, menurut maklumat yang diperoleh, hospital tersebut bahkan tidak mempunyai sistem komputer asas untuk ujian darah.

"Pesakit atau ahli keluarga perlu membawa sampel darah dan borang ke makmal secara manual, menunggu laporan siap, dan kemudian membawanya kembali kepada doktor.

"Malah, keadaan ini juga berlaku di banyak hospital besar lain," ujarnya.

Dominic berkata, beliau tidak faham mengapa kerajaan tidak membangunkan sistem komputer yang boleh merekodkan semua maklumat pesakit supaya doktor hanya perlu menekan beberapa kekunci untuk memahami keadaan pesakit.

Dalam pada itu, ujarnya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pernah berjanji untuk menyelesaikan masalah sistem perubatan awam pada tahun 2018, namun masalah itu masih belum diselesaikan sepenuhnya.

"Pada Disember 2023, apabila beliau kembali ke jawatan Menteri Kesihatan dengan menyatakan ada 'tugas yang belum selesai,' situasi ini masih tidak menunjukkan perkembangan yang positif.

“Menteri sering menyebut masalah dihadapi oleh sistem perubatan awam tetapi tidak menyelesaikannya, menyebabkan jumlah pegawai perubatan yang meninggalkan perkhidmatan awam semakin meningkat.

"Pengaliran keluar tenaga kerja ini telah melemahkan sistem penjagaan kesihatan negara secara serius,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan mengapa kerja-kerja yang boleh dilakukan oleh sistem komputer masih memerlukan tenaga manusia.

"Kerajaan bercakap tentang menggalakkan ekonomi digital, tetapi hospital sendiri menghadapi masalah dengan sistem komputer asas," tambahnya.