'Henti serta-merta jika benar pendakwaan terburu-buru'

SHAH ALAM - Kes berprofil tinggi yang dikenakan terhadap mana-mana individu sepatutnya dihentikan serta-merta jika benar pendakwaan ketika kerajaan Pakatan Harapan 1.0 dibuat terburu-buru dan didorong oleh dendam politik.

Bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata, ia bagi mengelakkan berlakunya penganiayaan dan ketidakadilan kepada tertuduh yang terlibat.

Katanya, satu siasatan terperinci juga perlu dilaksanakan segera tentang kemungkinan Peguam Negara pada waktu berkenaan membawa segala pertuduhan jenayah secara terburu-buru tanpa siasatan, keterangan atau bukti kukuh.

“Saya rasa kenyataan itu mengejutkan dan membawa kesan yang agak serius terhadap sistem pentadbiran keadilan jenayah Malaysia. Sekiranya benar dan dapat dibuktikan ia dibuat terburu-buru, maka patut dihentikan serta-merta.

“Kalau dilihat kes isteri bekas Perdana Menteri iaitu Datin Seri Rosmah Mansor yang dilepaskan dan dibebaskan baru-baru ini, hakim menyatakan tuduhan difailkan salah di sisi undang-undang, malah tiada elemen kesalahan di bawah pengubahan wang haram (AMLA).

“Ini memberi gambaran seolah-olah Peguam Negara telah membuat kesilapan semasa tuduhan-tuduhan tersebut disediakan,“ katanya kepada Sinar Harian.Pada Sabtu, Anwar dalam satu sidang akhbar menafikan pembabitannya dalam kes Rosmah, sebaliknya beliau menyatakan beberapa pendakwaan yang dibuat selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) terburu-buru sehingga banyak ‘kecacatan’.

Rosmah dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis atas 12 pertuduhan AMLA berjumlah RM7,097,750 serta lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Hakim K Muniandy memutuskan perkara terbabit selepas membenarkan permohonan Rosmah, 73, untuk membatalkan semua kes tersebut.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan pada Jumaat memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.

Justeru, Azhar berpandangan, satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) perlu ditubuhkan bagi melihat tindak-tanduk Peguam Negara yang terlibat.

Katanya, ia bagi memelihara integriti dan imej Jabatan Peguam Negara (AGC) sebagai satu institusi yang bukan sahaja bebas, tetapi juga tidak digunakan sebagai senjata dendam politik.

“Sekiranya benar (terlibat), maka Peguam Negara yang berkenaan juga patut dipertanggungjawabkan,” ujar beliau.