PUTRAJAYA - Kerajaan sewajarnya tidak terlalu melihat kes Batu Puteh dalam konteks kesalahan dan tanggungjawab individu.
Sebaliknya, tegas Pakar Perlembangaan, Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof, negara sepatutnya memberi keutamaan dengan mengambil langkah proaktif bagi mengelakkan kejadian serupa berlaku kepada sempadan Malaysia di kawasan lain.
“Isu Pulau Batu Puteh yang melibatkan Mahkamah Antarabangsa (ICJ) ini sewajarnya dilihat daripada perspektif yang luas dan menyeluruh iaitu konteks kepentingan bagi memastikan kedaulatan dan kewibawaan negara terjaga terutamanya berkaitan urusan sempadan serta kepulauan milik kita,” katanya.
Ujar beliau, kerajaan juga perlu melihat faktor yang menyebabkan Malaysia kecundang di peringkat awal ketika kes berkenaan dibawa ke ICJ.
“Melihat adakah wujud kelemahan dalam proses penghujahan dokumentasi atau aspek lain.
“Kenapa kita tidak mampu untuk menjawab dan mengemukakan hujah balas terhadap dokumen yang dikemukakan Singapura termasuk surat ditandatangani oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Johor pada waktu penyerahan itu dikatakan telah dilaksanakan?
“Dalam hal ini kita dapat melihat wujud ketidakcekapan dalam melaksanakan tanggungjawab mewakili negara ketika di peringkat permulaan kes dibawa ke ICJ,” jelas Muhammad Fathi.
Pensyarah Undang-Undang dan Polisi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu berkata, kerajaan perlu memahami bahawa Perdana Menteri mempunyai bidang kuasa tertentu seperti termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang.
“Timbul persoalan adakah tindakan yang mewakili Kabinet secara keseluruhan atau tindakan individu sebagai Perdana Menteri?
“Ia kerana dalam Perlembagaan Persekutuan wujud konsep kebertanggungjawaban bersama. Jika individu memegang tampuk sebagai Perdana Menteri hendak dipersalahkan, terdapat juga ruang melihat tanggungjawab itu dalam perspektif lebih besar iaitu keseluruhan anggota Kabinet pada ketika itu,” jelasnya.