Wanita BN perlu berani perjuangkan hak - Noraini

KUALA LUMPUR - Wanita Barisan Nasional (BN) perlu berani menjadi pelopor dalam memperjuangkan hak dan keselamatan kaum wanita di negara ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, ini kerana kes penganiayaan seperti keganasan rumah tangga, diskriminasi tempat kerja dan gangguan seksual masih menghantui golongan itu.

"Kesatuan kita mesti menjadi perisai yang melindungi golongan ini dan undang-undang kena lebih tegas, menyediakan saluran bantuan lebih cekap dan memastikan tiada wanita yang terpaksa hidup dalam ketakutan.

"Kita mahu semua wanita rasa selamat dan dihormati dalam setiap aspek kehidupan mereka," katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Ulang Tahun ke-50 Wanita BN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Sabtu.

Dalam pada itu, Noraini yang juga Ketua Wanita UMNO menegaskan, ahli kesatuan perlu bersama menguatkan tekad, menggandakan usaha dan terus istiqamah dalam memperjuangkan isu rakyat.

Beliau mahukan pasukannya dikenang sebagai wanita yang menterjemahkan perpaduan hingga mampu mengurangkan beban hidup rakyat dengan membina rumah untuk keluarga, membuka peluang serta melindungi hak setiap insan.

"Dengan semangat setia kawan yang ditunjukkan hari ini, saya yakin kita mampu membawa perubahan.

"Kembalilah ke akar umbi dengan semangat berkobar-kobar dan tekad membawa perubahan dengan bekerja keras, penuh dedikasi dan komitmen supaya agenda BN dapat dilaksanakan.

"Kesatuan ini perlu buktikan bahawa kita bukan sahaja relevan tetapi satu-satunya pilihan untuk masa depan yang lebih stabil, makmur dan bersatu," ujarnya.


Wanita BN digesa jadi pelopor pejuang akses pendidikan digital

KUALA LUMPUR - Wanita Barisan Nasional (BN) perlu menjadi pelopor dalam memperjuangkan hak wanita terutama dalam pendidikan serta berperanan sebagai perisai yang melindungi golongan tersebut, kata Ketua Wanita BN, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Beliau berkata, antara aspek yang perlu diberikan perhatian ialah pendidikan digital bagi memastikan setiap wanita mempunyai peluang untuk meneroka teknologi, selain terus diberi ruang menjadi usahawan dan pencetus inovasi dalam memperkasakan ekonomi keluarga.

"Setiap anak perempuan di negara ini harus mempunyai peluang yang sama untuk belajar, meneroka teknologi dan membina kerjaya masa depan termasuk di kawasan pedalaman.

"Kita juga mesti memastikan bahawa hak dan keselamatan wanita terus diperjuangkan. Kes-kes keganasan rumah tangga, diskriminasi tempat kerja dan gangguan seksual masih menghantui ramai wanita. Kesatuan kita mesti menjadi perisai yang melindungi mereka," katanya dalam ucapan perasmian sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Wanita BN, di sini.

Noraini berkata, pada usia 50 tahun, Wanita BN perlu terus memainkan peranan sebagai tulang belakang dalam memastikan gabungan itu kekal berfungsi dan memikul tanggungjawab untuk menjadikan BN sebagai harapan rakyat.

Menurutnya, BN pernah melalui zaman kegemilangan dan menghadapi kejatuhan yang penuh cabaran, namun gabungan itu kekal sebagai harapan terakhir rakyat untuk mencapai kestabilan dan kemakmuran.

Beliau turut mengingatkan semua ahli parti yang menghadiri sambutan kali ini untuk menjadikan misi 'Bangkit Semula Teguh Bersama' sebagai asas kesepaduan mereka, dengan tekad untuk terus bersatu padu

"Ingatlah, kejayaan kita bukan hanya diukur melalui pencapaian individu, tetapi melalui pencapaian kolektif kita bersama.

"Mari kita terus tanamkan semangat perpaduan dalam diri kita. Kesatuan bukan sekadar kata-kata indah, tetapi prinsip yang menjadi tunjang kekuatan kita," katanya. - Bernama