SETELAH hampir dua tahun berdepan ranjau berduri susulan prestasi mengecewakan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 dan beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK), UMNO dan Barisan Nasional (BN) akhirnya kini boleh kembali tersenyum.
Kejayaan besar UMNO-BN merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Kelantan pada PRK baru-baru ini sudah pasti memberi tonik tambahan kepada parti itu dalam mendepani cabaran politik negara yang semakin menggunung.
Hal ini susulan kerusi DUN berkenaan mewakili komposisi kerusi majoriti pengundi Melayu yang lazimnya didominasi Perikatan Nasional (PN) pasca PRU15.
Menjelang Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 yang bermula pada Rabu hingga Sabtu ini, pucuk kepimpinan parti keramat Melayu itu sudah pasti menggunakan rekod kemenangan PRK Nenggiri sebagai asas menaikkan kembali semangat lebih tiga juta ahlinya.
Bakal berdepan cabaran PRK DUN Mahkota di Johor pada 28 September hadapan, seramai 6,433 perwakilan dari seluruh negara yang berkampung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) tentunya mengharapkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan mengemukakan strategi dan perancangan terkini bagi mengembalikan kegemilangan UMNO.
Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan Suffian dalam siaran podcast Keluar Sekejap menjangkakan PAU 2024 bakal menjadi medan parti itu memalu gendang untuk melambung puji-pujian dan kredit besar kepada Ahmad Zahid di atas kejayaan ‘flip’ kerusi pilihan raya pertama UMNO pasca PRU15.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri bagaimanapun melontarkan nada bersederhana apabila menyatakan keputusan PRK DUN Nenggiri tidak mencerminkan sokongan Melayu telah kembali sepenuhnya terhadap parti berkenaan.
**media[2777017]**
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani turut berkongsi sentimen sama apabila berpandangan masih terlalu awal menilai semula penerimaan rakyat terhadap parti itu.
Lebih menarik, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu wawancara bersama media tempatan baru-baru ini mengakui terdapat perbezaan pandangan dalam kalangan pemimpin utama UMNO dengan PAU kali ini perlu dijadikan medan menyatupadukan semula parti berkenaan.
Persoalannya, adakah wajar UMNO menjadikan PAU 2024 sebagai platform melaungkan kebangkitan parti berkenaan hanya bersandarkan keputusan Nenggiri?
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, di sebalik kemenangan Nenggiri, UMNO perlu kembali berpijak di bumi nyata dengan meraikannya secara sederhana.
Jelasnya, keputusan DUN Nenggiri hakikatnya dimenangi UMNO-BN dengan bersandarkan banyak faktor unik terutamanya faktor kualiti calon, pengaruh Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah serta gerak kerja jentera parti yang sangat tersusun.
“Reaksi secara berpada-pada pada PAU 2024 penting kerana saya melihat antara kunci kejayaan UMNO di DUN Nenggiri juga adalah disebabkan sikap calon dan jentera parti yang mendepani rakyat kawasan itu dengan penuh rendah diri serta bersederhana.
“Kita pun sedar pelaksanaan kempen pilihan raya secara lowkey (tidak menunjuk), gerak kempen secara pertemuan tertutup serta kurang kecenderungan mengadakan ceramah umum menyebabkan pengundi berasa lebih dekat dengan kita.
“Jadi, banyak sebenarnya strategi politik berkesan yang UMNO boleh belajar daripada PRK Nenggiri. Justeru, saya berharap PAU 2024 menjadi medan pemimpin UMNO mempamerkan kesederhanaan kepada pengundi, selain mengemukakan tawaran-tawaran baharu lebih segar bagi menjamin masa hadapan kaum Melayu dan agama Islam,” katanya.
Mengulas inti pati perbahasan yang bakal difokuskan dalam PAU 2024, Reezal Merican yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bertam menjangkakan Ahmad Zahid akan menyentuh soal penilaian keberuntungan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan melalui ucapan dasar Presiden UMNO pada Sabtu.
Menurutnya, penilaian keberuntungan itu sudah pasti bersandarkan kepentingan kaum Melayu, agama Islam dan institusi diraja dengan peranan UMNO menjadi benteng dalam aspek tiga perkara penting berkenaan memastikan Kerajaan Perpaduan terus cakna dalam melaksanakan transformasi masa hadapan kaum bumiputera.
“Soal sama ada kerjasama BN-PH (Pakatan Harapan) perlu dimuktamadkan dalam PAU 2024, saya tidak boleh ulas lanjut kerana perkara itu terletak di tangan Sekretariat Kerajaan Perpaduan.
“Cuma saya melihat hubungan BN-PH baru hendak memasuki tahun kedua dengan momentum pembinaannya sudah diusahakan secara baik,” katanya.
RETORIK
Dalam pada itu, bekas Setiausaha Kerja Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Azizi Safar berpendapat, PAU 2024 tidak seharusnya dijadikan medan ‘syok sendiri’ pemimpin UMNO untuk membodek pucuk kepimpinan secara berlebihan.
Katanya, sudah tiba masanya UMNO harus memanfaatkan platform PAU bagi membina semula keyakinan pengundi parti itu yang majoritinya beralih sokongan kepada PN pada PRU15 dan PRN enam negeri tahun lalu.
“UMNO kena kurangkan slogan-slogan dan kenyataan retorik pada PAU 2024, sebaliknya kemukakan strategi mengukuhkan parti dengan tawaran-tawaran baharu kepada rakyat Malaysia terutamanya golongan pengundi muda yang semakin meningkat bilangannya.
“Sebagai contoh, PRK DUN Nenggiri membuktikan strategi mengenal pasti calon pilihan raya lebih awal untuk memulakan gerak kerja mendekati rakyat adalah langkah tepat untuk memenangkan UMNO. Selain itu, UMNO kena berani mengetengahkan calon pemimpin muda berbanding berterusan bergantung pengaruh pemimpin ‘dinosaur’,” ujarnya.
Azizi berkata, UMNO dan BN perlu menjadikan PAU 2024 sebagai medan untuk memutuskan masa depan kerjasama politik rasmi antara BN dan PH bagi mendepani PRU16.
“Pandangan peribadi saya, selagi tidak berlaku pengesahan gabungan kerjasama politik rasmi antara BN-PH dalam masa terdekat, usaha memastikan berlaku peralihan undi antara penyokong kedua-dua koalisi berkenaan dalam mana-mana pilihan raya tidak akan berlaku dengan lancar.
“Justeru, adalah penting Ahmad Zahid dan kepimpinan UMNO membuat ketetapan muktamad berhubung perkara ini pada PAU 2024 bagi mengetepikan kecurigaan yang masih menebal dalam kalangan penyokong BN dan PH terhadap satu sama lain,” katanya.