KOTA KINABALU – Pendakwaan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah disifatkan sebagai petunjuk jelas bahawa Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, bertindak adil dalam menangani isu rasuah, walaupun melibatkan pemimpin dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, Hajiji sejak awal telah berikrar untuk tidak berkompromi dengan sebarang salah laku rasuah.
“Beliau sentiasa bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengatasi masalah rasuah di Sabah, malah telah menubuhkan unit integriti di setiap jabatan kerajaan negeri.
“Apabila pendakwaan ke atas ADUN ini dilakukan, ia sebenarnya menjadi penanda aras bahawa beliau, termasuk kerajaan perpaduan, bertindak adil dan saksama terhadap pertuduhan rasuah,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tambah beliau, mahkamah merupakan medan paling sesuai untuk membersihkan nama wakil rakyat berkenaan.
“Diharapkan kesemua ADUN terlibat akan dibebaskan tanpa perlu membela diri apabila kes ini dibicarakan di mahkamah.
“Ini juga sekali gus dapat merungkai keterlibatan pemberi maklumat yang turut dikenali sebagai kartel perlombongan di Sabah,” katanya.
Zulkarnain turut menyatakan kekesalannya kerana tiada sebarang kenyataan sokongan daripada pimpinan UMNO dan Parti Warisan (Warisan) terhadap tindakan Hajiji yang dikatakan berjaya menggagalkan cubaan kartel perlombongan untuk mendapatkan kelulusan tanah melibatkan 404,700 hektar di Sabah.
“Sebaliknya, Pengarah Komunikasi Strategik UMNO Sabah, Datu Rosman Datu Ahir Zaman mengeluarkan kenyataan mengecam Hajiji dan menuduh beliau gagal mentadbir negeri dengan berkesan serta membiarkan skandal rasuah mencemarkan institusi kerajaan.
“Saya harap Rosman supaya ‘cermin muka’ dahulu sebelum menasihati Hajiji berkaitan isu rasuah yang membabitkan beberapa ADUN di Sabah.
“Pimpinan UMNO Sabah yang pro kepada ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, sebenarnya tidak mempunyai kredibiliti untuk mengulas isu rasuah, kerana pada masa sama Bung Moktar sendiri sedang berdepan pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta,” katanya.