Najib jaga kebajikan ketika jadi PM - Penganalisis

SHAH ALAM - Datuk Seri Najib Tun Razak sememangnya wajar dianggap antara Perdana Menteri terbaik Malaysia kerana berjaya menjaga kebajikan rakyat dan tidak meminggirkan pembangunan negara semasa zaman pentadbirannya.

Penganalisis politik, Dr Hussain Yusri Zawawi berkata, rakyat merasai sendiri kebajikan mereka terbela menerusi pelbagai inisiatif dan kemudahan yang disediakan Najib di bawah slogan 1Malaysia termasuk pengenalan bantuan dalam bentuk wang tunai iaitu Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

“Selain BR1M, banyak inisiatif yang rakyat lihat sendiri depan mata mereka semasa pentadbiran Najib antaranya Klinik 1Malaysia dan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) yang dibuka di ceruk-ceruk kampung, desa dan bandar.

“Najib juga perkenalkan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) untuk bantu rakyat memiliki rumah sendiri dan Baucar Buku 1 Malaysia (BB1M) demi meringankan beban pelajar institusi pengajian tinggi.

“Tumpuan terhadap kebajikan itu membuatkan beliau berjaya mengimbangi ekonomi kerana rakyat berpendapatan rendah boleh menikmati inisiatif dan kemudahan berkenaan. Najib turut melakukan pembangunan contohnya melalui pelaksanaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB),” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang menyifatkan Najib sebagai antara Perdana Menteri terbaik Malaysia dan apa yang terjadi kepadanya pada masa ini sangat menyedihkan.

**media[2736247]**

Berucap merasmikan mesyuarat UMNO Pekan pada Sabtu, Onn Hafiz menyuarakan harapannya agar pimpinan UMNO terus memperjuangkan apa yang disebutnya sebagai keadilan terhadap Najib.

Mengulas lanjut, Hussain Yusri yang juga Ketua Pusat Pengajian Hubungan Antarabangsa, Fakulti Undang-undang dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Kampus Gong Badak berkata, Najib turut menjana ekonomi negara menerusi hubungan yang dijalin dengan negara luar terutama China.

Menurutnya, bekas Ahli Parlimen Pekan tersebut banyak membawa pelaburan dari China ke negara ini.

Namun dalam soal perjuangan keadilan dan pengampunan untuk Najib, Hussain Yusri berpandangan, ia sepatutnya diserahkan kepada perundangan negara dan kuasa Yang di-Pertuan Agong.

“Malaysia ada badan legislatif, eksekutif dan perundangan. Dalam konteks perundangan kita tak boleh campur, itu bidang kuasa mahkamah. Bagi isu pengampunan pula, pada saya baik kita serahkan kepada kebijaksanaan Seri Paduka Baginda untuk selesaikannya.

“Bagaimanapun, kejayaan Najib mentadbir sebelum ini sepatutnya dicontohi pemimpin UMNO. Buka mata, tiru cara kepimpinan, perjuangan, agenda dan dasarnya untuk manfaat rakyat,” ujarnya.

Jelasnya, UMNO yang menjadi salah sebuah parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan selain menjadi parti utama kerajaan di beberapa negeri boleh meneruskan dasar yang mampu meringankan beban rakyat terutama dalam keadaan kos sara hidup yang kian tinggi ketika ini.

“Apa yang telah dibuat Najib sebelum ini boleh dipraktikkan UMNO di peringkat Persekutuan dan negeri. Contohnya seperti baucar buku, Kerajaan Perpaduan dah umum untuk perkenalkan semula inisiatif ini tahun ini,” kata beliau.