Blok pembangkang Sarawak lumpuh, GPS perkukuh dominasi

KEPUTUSAN Parti Sarawak Bersatu (PSB) untuk dibubarkan bagi memberi laluan tiga Ahli Dewan Undangan Negerinya (ADUN) menyertai parti dalam kerajaan negeri bakal menyaksikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak kini tidak mempunyai blok pembangkang jelas dan dianggap lumpuh.

Pengarah Pengajian Asia Universiti Tasmania, Profesor Dr James Chin berkata, tindakan tiga ADUN PSB yang sebelum ini mewakili blok pembangkang DUN Sarawak menyertai Parti Demokratik Progresif (PDP) yang menganggotai Gabungan Parti Sarawak (GPS) - parti koalisi mentadbir kerajaan negeri - turut menyebabkan blok pembangkang kini hanya diwakili dua ADUN dari DAP, manakala seorang lagi ADUN Bebas.

Jelasnya, keputusan PSB menyertai GPS atau parti-parti yang menganggotai gabungan itu sebenarnya sudah lama diperkatakan banyak pihak, sejurus selesai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 pada 18 Disember 2021.

Tambah James, ini kerana Presidennya, Datuk Seri Wong Soon Koh (ADUN Bawang Assan) yang sebelum ini memegang jawatan Ketua Pembangkang DUN, hakikatnya merupakan bekas menteri Sarawak yang lama berkhidmat dalam kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu.

“Terdapat dua perkara penting yang berlaku setelah PSB memutuskan untuk dibubarkan bagi menyertai PDP yang diketuai Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing pada hari ini (Sabtu).

“Pertama, kerajaan Sarawak buat pertama kalinya tiada blok pembangkang jelas susulan tiga ADUN PSB termasuk Ketua Pembangkang DUN kini menyertai parti dalam kerajaan.

“Kedua, PDP di bawah King Sing dijangka akan lebih mengukuhkan kedudukannya dalam blok GPS.

**media[2541734]**

“Hal ini susulan penyertaan ADUN-ADUN PSB ke dalam parti berkenaan akan memberi ancaman secara tidak langsung terhadap salah satu parti dalam GPS sendiri iaitu Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang diketuai Datuk Joseph Salang Gandum terutama dalam aspek pengagihan kerusi pilihan raya,” katanya kepada Sinar Premium.

Beliau berkata demikian bagi mengulas impak pembubaran PSB bagi memberi laluan tiga ADUN mereka menyertai PDP dan blok kerajaan negeri yang ditadbir GPS.

Selain Soon Koh, PSB turut mempunyai wakil rakyat terdiri ADUN Engkilili, Johnical Rayong dan bekas Menteri Kerja Raya, Baru Bian (ADUN Ba'kelalan).

Penyertaan Soon Koh, Johnical Rayong dan Baru Bian ke PDP dijangka bakal disertai 80,000 ahli parti berkenaan dan menjadikan kedudukan ADUN menyokong blok kerajaan meningkat kepada 79 orang.

Susunan jumlah wakil rakyat di DUN Sarawak sebelum keputusan PSB dibubarkan adalah GPS mewakili blok kerajaan seramai 76 ADUN, manakala PSB mengetuai blok pembangkang dengan tiga ADUN, DAP (dua) dan seorang ADUN bebas iaitu ADUN Batu Lintang, See Chee How.

Tukar sokongan secara en blocBerikutan keputusan drastik PSB, Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak, Senator Abun Sui Anyit mempersoalkan sama ada tindakan tiga ADUN parti berkenaan berpindah dari blok pembangkang ke blok kerajaan telah melanggar peruntukan Akta Anti Lompat Parti yang diluluskan di Parlimen pada tahun 2022.

Mengulas persoalan itu, James menjelaskan peruntukan Akta Anti Lompat Parti hakikatnya tidak terpakai dalam isu penghijrahan parti tiga ADUN PSB.

Katanya, ini kerana parti itu telah dibubarkan sebelum mereka memutuskan untuk menyertai parti baharu iaitu PDP.

“Justeru, tiada isu pelanggaran Perlembagaan Persekutuan yang boleh ditimbulkan pihak lawan.

“Tindakan mereka itu juga seumpama sesebuah parti membuat keputusan menyokong blok kerajaan atau parti lain dalam kerajaan secara en bloc,” katanya.

KELEMAHAN AKTA LOMPAT PARTI

Sementara itu, Felo Akademi Sains Malaysia, Profesor Datuk Dr Jayum Jawan menegaskan tindakan PSB membubarkan parti bagi membolehkan wakil rakyat mereka menyertai blok kerajaan membuktikan lompang kelemahan Akta Anti Lompat Parti terus dimanipulasi pemimpin politik tempatan demi kepentingan politik peribadi mereka.

Dengan Malaysia masih terperangkap dengan mentaliti politik kelas ketiga, tiga ADUN PSB berkenaan bertindak menyertai PDP sebagai strategi awal bagi menyelamatkan diri dan karier politik masing-masing menjelang PRN Sarawak ke-13.

“Dengan saya menjangkakan tiada parti pembangkang yang bakal menyaingi pengaruh GPS yang semakin mengukuh di bawah pimpinan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, ADUN-ADUN PSB sedar satu-satunya cara mereka hendak menyelamatkan kerusi DUN masing-masing adalah dengan ‘melompat’ dan menyatakan sokongan terhadap GPS.

“Mereka sedar prestasi semasa GPS termasuk kejayaan pelantikan seorang Timbalan Perdana Menteri dari negeri Bumi Kenyalang adalah pencapaian politik paling cemerlang pernah dicapai mana-mana parti di Sarawak dengan amalan pentadbiran mereka amat disenangi rakyat.

“Saya yakin defisit integriti dan moral politik ditonjolkan bekas ADUN PSB ini bakal memberi kesan besar terhadap pengundi atas pagar yang menyokong mereka sebelum ini atas faktor parti pembangkang.

“Majoriti mereka dijangka akan beralih sokongan kepada PKR dan DAP pada PRN akan datang,” ujarnya.