Empat pemimpin politik dapat pengampunan diraja

[DIKEMAS KINI] KES Datuk Seri Najib Tun Razak yang diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun serta pemotongan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta telah menarik minat dan membuka mata orang ramai tentang konsep pengampunan diraja yang telah diamalkan di Malaysia sejak negara ini mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.

Pengampunan diraja diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong atau Sultan negeri sebagai sebahagian daripada prerogatif diraja atau kuasa mutlak yang dimiliki oleh pemerintahan beraja.

Keputusan pengampunan diraja bergantung kepada budi bicara mutlak Seri Paduka Baginda atau Tuanku Sultan negeri dalam apa jua bentuk pemberian kemaafan seperti pengurangan hukuman, denda atau pembebasan sepenuhnya.

Ia sering kali diberikan dalam keadaan tertentu setelah mempertimbangkan nasihat daripada penasihat undang-undang dan lembaga pengampunan berkaitan.

Penggunaan kuasa pengampunan diraja terus menjadi sebahagian penting daripada sistem pemerintahan beraja dan tidak hanya diberikan kepada mereka yang sudah mengharumkan nama negara, bahkan kepada mana-mana banduan yang berkelakuan baik di dalam penjara.

Kebiasaannya, Seri Paduka Baginda berkenan memberi pengampunan dan pelepasan kepada beberapa orang yang dikehendaki di dalam penjara sempena Hari Keputeraan Sultan atau ulang tahun tertentu, tertakluk kepada budi bicara tanpa melihat kepada apa-apa faktor lain.

Biarpun Najib merupakan bekas Perdana Menteri pertama ke tirai besi, namun terdapat beberapa individu lain yang pernah memegang portfolio sebagai menteri turut disabitkan kesalahan lalu mendapat pengampunan diraja di Malaysia.

1) Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Harun Idris

Harun dijatuhkan hukuman penjara enam tahun kerana kegiatan rasuah dan penipuan.

Sekitar tahun 1977, Mahkamah Federal telah menyokong hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Tinggi ke atas Harun kerana menerima rasuah RM250,000 dari Perbadanan Hongkong dan Shanghai Bank.

Beliau juga ketika itu menyokong tuduhan-tuduhan memalsukan dokumen-dokumen Jawatankuasa Pelaburan Bank Rakyat bagi membiayai pertandingan tinju dunia antara Muhammad Ali dengan Joe Bugner.

Oleh itu, Mahkamah Federal telah menambah hukuman penjara Harun dalam kes Bank Rakyat dari enam bulan kepada empat tahun.

Pada 28 Julai 1981, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Haji Ahmad Shah mengadakan Persidangan Lembaga Pengampunan. Laporan dari penjara dan jasa-jasa Harun dipertimbangkan dan akhirnya Harun dibebaskan oleh Lembaga Pengampunan pada 1 Ogos 1981, selepas empat tahun menjalani hukuman penjara.

2) Bekas Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Mokhtar Hashim

Mokhtar yang juga bekas Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan pernah mendapat pengampunan diraja biarpun berdepan kes jenayah pembunuhan.

Pada 6 Mac 1983, Mokhtar dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas didapati bersalah atas tuduhan membunuh Speaker Dewan Undangan Negeri Sembilan, Mohamad Taha Talib pada 14 April 1982.

Bagaimanapun, hukuman tersebut diubah kepada penjara seumur hidup sekitar tahun 1984 dan dibebas pada 10 Julai 1991 selepas mendapat pengampunan diraja dan telah menjalani hukuman selama lapan tahun.

3) Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

Anwar juga mempunyai sejarahnya tersendiri dalam menempuh kehidupan di balik tirai besi.

Ahli Parlimen Tambun itu pernah didapati bersalah meliwat pemandu keluarganya, Azizan Abu Bakar di Tivoli Villa di sini pada 1998 dan dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Tinggi pada 8 Ogos 2000.

Mahkamah Tinggi memerintahkan Anwar menjalani hukuman itu selepas beliau selesai menjalani hukuman penjara enam tahun atas kesalahan rasuah.

Mahkamah Tinggi turut mensabitkan Menteri Kewangan itu terhadap empat pertuduhan rasuah pada 4 April, 1999.

Bagaimanapun, selepas berada di penjara hampir enam tahun kerana kesalahan rasuah, Anwar dibebaskan pada 2 September 2004 apabila Mahkamah Persekutuan meminda sabitan kesalahan itu dan mengetepikan hukuman penjara terhadap dakwaan meliwat Azizan dalam keputusan majoriti 2-1.

Pada tahun 2015, Anwar dipenjara lima tahun lagi selepas lima hakim Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan bersalah dalam satu lagi kes terhadap beliau.

Bagaimanapun pada 2018 Anwar mendapat pengampunan penuh daripada Sultan Muhammad V sejurus perubahan kerajaan pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Ahli Parlimen Tambun itu dalam satu jawapan di Dewan Rakyat berkata, pengampunan penuh itu diberikan kerana Sultan Muhammad V menganggap kes berkaitan ada 'pelanggaran prinsip keadilan' (travesty of justice).

Dengan pengampunan ini, Suruhanjaya Pilihanraya membenarkan beliau untuk bertanding di dalam pilihanraya kecil Port Dickson pada Oktober 2018.

4) Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak

Negara Malaysia pernah digemparkan dengan berita sensasi apabila Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri Malaysia pertama dijatuhi hukuman penjara pada 23 Ogos 2022.

Sejak dua tahun lalu, usaha beliau dalam mendapatkan pengampunan diraja untuk dibebaskan awal daripada hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah atas satu pertuduhan salah guna kuasa berhubung pinjaman Kumpulan Wang Persaraan Inc (KWAP) RM4 bilion kepada SRC International Sdn Bhd (SRC), serta tiga pertuduhan setiap satu pelanggaran jenayah kepercayaan dan salah guna kuasa berkenaan dengan RM42 juta dana SRC, tidak pernah pudar.

Tiada angin tiada ribut, ramai yang terkejut apabila Media Singapura, Channel News Asia (CNA) mendedahkan bahawa hukuman penjara 12 tahun ke atas bekas Ahli Parlimen Pekan itu, dikurangkan kepada enam tahun oleh Lembaga Pengampunan selepas mesyuaratnya pada 29 Januari lalu.

Namun, segalanya terungkai pada tanggal 29 Januari 2024 apabila Ahli Parlimen Pekan itu diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalaninya, sekali gus bakal mendapat kebebasan pada 23 Ogos 2028, setelah menjalani hukuman selama 1 tahun 4 bulan.

Selain tarikh pembebasan awal itu, Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, turut mengumumkan denda perlu dibayar oleh Najib dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Namun sekiranya denda itu tidak dibayar, tempoh penjara bagi Najib akan ditambah setahun dengan tarikh pembebasan beliau dijadualkan pada 23 Ogos 2029.

Namun kes Najib agak berbeza dengan ahli-ahli politik lain apabila beliau masih perlu berdepan tiga lagi kes jenayah lain iaitu perbicaraan membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan dua lagi kes pecah amanah jenayah berjumlah RM6.6 bilion berhubung pembayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) serta pengubahan wang haram (AMLA) membabitkan dana SRC International sebanyak RM27 juta.

INFO - Tempoh disabitkan kesalahan vs tahun diberikan pengampunan

1) Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Harun Idris

Tahun disabitkan kesalahan: Sekitar tahun 1977

Tahun yang diberikan pengampunan: 1 Ogos 1981

Tempoh penuh hukuman: 6 tahun

Tempoh sudah menjalani hukuman: 4 tahun

Kesalahan:

- Melakukan kesalahan-kesalahan rasuah yang melibatkan Bank Hongkong and Shanghai (menerima rasuah sebanyak RM250,000 dari Hong Kong and Shanghai Banking Corporation).

- Melakukan pecah amanah yang melibatkan Bank Kerjasama Rakyat (menyalahgunakan wang Bank Kerjasama Rakyat sebanyak RM8 juta)

2) Bekas Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Mokhtar Hashim

Tahun disabitkan kesalahan: 6 Mac 1983

Tahun yang diberikan pengampunan: 10 Julai 1991 (hukuman gantung sampai mati, diubah kepada penjara seumur hidup selepas setahun dan dibebaskan pada 10 Julai 1991)

Tempoh sudah menjalani hukuman: 8 tahun

Kesalahan: Tuduhan membunuh Speaker Dewan Undangan Negeri Sembilan, Mohamad Taha Talib pada 14 April 1982.

3) Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

Tahun disabitkan kesalahan: 7 Mac 2014 (Kes pertuduhan liwat II)

Tahun yang diberikan pengampunan: 16 Mei 2018

Tempoh penuh hukuman: 5 tahun

Tempoh sudah menjalani hukuman: 4 tahun

Kesalahan: Tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan

4) Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak

Tahun disabitkan kesalahan: 23 Ogos 2022

Tahun yang diberikan pengampunan: 29 Januari 2024

Tempoh penuh hukuman: 12 tahun

Tempoh sudah menjalani hukuman: 1 tahun 4 bulan

Kesalahan: Kes menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd