Risiko Anwar di Tambun

SEBELUM Presiden Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan malam tadi beliau akan bertanding kerusi Parlimen Tambun dalam PRU-15, desas-desus dan khabar burung telah sampai lebih awal tentang perkhabaran tersebut. Ternyata ia benar.

Presiden PKR itu mengambil langkah berani tidak bertanding di ‘kerusi selamat’, baik di Permatang Pauh yang diwakilinya selama lebih 20 tahun, mahu pun di Port Dickson yang diwakilinya sejak Pilihan Raya Kecil 2018 lalu.

Langkah tersebut menghantar mesej pemimpin pembangkang itu sanggup mengambil risiko dan memilih laluan tidak mudah demi menjayakan strategi menjadikan Perak sebagai ‘barisan hadapan perjuangan’ partinya dalam PRU-15 ini.

Dibayangkan sebelum ini oleh Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli bahawa partinya bersedia menawan semula Perak, PH tampak serius dengan rencana tersebut apatah lagi Konvensyen Pakatan Harapan malam tadi turut dijalankan di negeri Datuk Maharaja Lela itu.

Jika rancangan itu berjaya, sejarah akan tercipta buat negeri Perak dengan melahirkan seorang Perdana Menteri Malaysia buat kali pertama dalam tampang Anwar, walaupun mantan Timbalan Perdana itu bukan anak jati Perak.

Namun jika ia gagal, harganya amat mahal untuk dibayar Pakatan Harapan kerana bukan sahaja jawatan Perdana Menteri yang dikejar tak dapat, mereka juga akan kehilangan sosok ahli parlimen atau Ketua Pembangkang yang kuat untuk ‘menyinga’ di Dewan Rakyat.

Strategi meletakkan tokoh-tokoh terkuat di kerusi-kerusi bersokongan sederhana walau bagaimanapun bukanlah pertama kali dilaksanakan pembangkang. Ia pernah dibuat DAP beberapa kali antaranya lewat tokoh seperti Lim Kit Siang dan Liew Chin Tong.

Kit Siang, pernah mewakili empat kerusi parlimen berbeza, berpindah dari kerusi Ipoh Timur yang dimenanginya selama dua penggal dengan majoriti besar, jauh ke selatan tanah air demi meluaskan pengaruh DAP di negeri kubu kuat Umno, Johor pada 2013.

Percubaan pertama tersebut berhasil, DAP berjaya menawan parlimen Gelang Patah (kini Iskandar Puteri) yang sebelumnya sentiasa dimenangi Barisan Nasional (BN).

Kes berbeza berlaku kepada Liew Chin Tong yang gagal merampas kerusi Ayer Hitam dari tokoh heavyweight MCA, presidennya, Wee Ka Siong dalam PRU-14 walaupun berjaya menarik majoriti dari empat kepada tiga angka.

Justeru, langkah Anwar ‘mencuba’ Tambun barangkali satu risiko terhitung (calculated risk) yang perlu diambil demi mencuba memenangi PRU-15 dari musuh-musuh politiknya, BN dan Perikatan Nasional (PN).

Adakah ia akan berjaya atau tidak, tunggulah 19 November nanti untuk mendapat jawapannya.

Anwar Ibrahim