Salasilah Hishammuddin bukan calang-calang

SETELAH menyepi beberapa ketika, nama Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien kembali menjadi bualan hangat apabila terpalit dengan kontroversi setelah diheret dalam permainan politik kotor dengan difitnah akan menggantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Intipati surat tersebut menyatakan bahawa Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN) mencalonkan Hishammuddin sebagai Perdana Menteri selain senarai jemaah menteri daripada Presiden Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), MCA, Parti Warisan Sabah (Warisan), Gabungan Parti Sarawak (GPS) turut disertakan.

Surat berkenaan dipercayai tersebar di media sosial termasuk di aplikasi WhatsApp yang antara lain turut menamakan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Tidak terhenti di situ sahaja, pada 11 Jun lalu, sepucuk surat pula tular yang dikaitkan dengan beliau mengenai pelucutan keahlian sebagai ahli UMNO berkuat kuasa serta-merta.

Bagaimanapun dakwaan terbabit disangkal oleh Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan.

Biasalah, dalam politik ini apabila ramai penyokong, ramai jugalah musuh yang tidak diketahui.

Dalam kumpulan lawan susah kita mahu kawan tapi dalam kalangan kawan, memang ramai yang menjadi lawan.

Jadi, tampil menjernihkan keadaan, Menteri Luar Negeri itu dikatakan akan membuat laporan polis berhubung sebaran surat tersebut dan meminta siasatan segera dilakukan bagi mengenal pasti dalang di sebalik tindakan yang disifatkan sebagai amat tidak bertanggungjawab.

Menyentuh asam garam politiknya, Hishammuddin juga pernah bertindak mencabar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid pada pemilihan parti pada tahun 2018.

Tindakannya itu dianggap mungkin bakal memakan diri setelah beliau tidak memiliki jawatan penting dalam Ahli Majlis Tertinggi UMNO bagi penggal seterusnya.

Ditambah pula kedukaan setelah Barisan Nasional (BN) tumbang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) menjadikan dirinya hilang ‘seri’.

Beliau juga didakwa ‘tidak selari’ dengan pendirian dan aspirasi pimpinan kanan UMNO seperti Ahmad Zahid Hamidi dan juga Pengerusi Kelab Ahli Parlimen Backbenchers Barisan Nasional (BNBBC) Datuk Seri Najib Tun Razak.

Disebalik kontroversi yang melanda dirinya, kemungkinan jua ada ‘tangan-tangan’ yang menggerakkan agenda mahukan Hishammuddin kembali aktif dalam arena politik setelah ‘suram’ beberapa tahun lalu.

Ia diperakui oleh Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz membuat pendedahan eksklusif kepada Sinar Harian bahawa beliau merupakan 'mastermind' dalam mengumpulkan tandatangan surat akuan bersumpah (SD) ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk memberi sokongan terhadap Menteri Luar itu.

Bagaimanapun Mohamed Nazri mengakui, gerakan mengumpul SD itu bukanlah bertujuan untuk menukar Perdana Menteri sebagaimana didakwa segelintir pihak.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Padang Rengas itu mendedahkan gerakan itu adalah semata-mata memberi mandat kepada Ahli Parlimen Sembrong berkenaan bagi menjadi jurucakap kepada 25 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) sekiranya dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Tegas Mohamed Nazri, mereka sudah hilang keyakinan terhadap ketelusan Ahmad Zahid mewakili parti sewaktu dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong tempoh hari.

Gerakan ini dilihat mahukan pemimpin yang ‘fresh’ menerajui parti keramat itu setelah Ahmad Zahid terpalit dengan rasuah begitu juga Najib yang telah menerima notis bankrap daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berhubung ringkasan penghakiman cukai pendapatannya dari 2011 hingga 2017.

Mahu tidak mahu, UMNO perlukan seorang pemimpin yang disukai masyarakat, ‘winnable candidate’ dan memiliki ketokohan bagi mengembalikan zaman kegemilangannya untuk berhadapan dengan cabaran Pilihan Raya Umum Ke-15.

Salasilah keluarga Hishammuddin

Jika diperhalusi, Hishammuddin merupakan seorang ahli politik yang mempunyai susur galur dan sejarah yang menarik.

Seperti yang kita ketahui, Hishammuddin membawa nama besar melalui ketokohan datuknya, Datuk Onn Jaafar dan ayahandanya, Tun Hussien Onn.

Onn Jaafar merupakan pengasas dan UMNO manakala Tun Hussien merupakan Perdana Menteri ketiga.

Tiga generasi ini sangat dekat dihati rakyat dan memiliki aura tersendiri.

Bukan itu sahaja, Menteri Besar Johor yang pertama, Allahyarham Datuk Jaafar Muhammad merupakan moyang beliau.

Hishammuddin dilahirkan di Kuala Lumpur pada 5 Ogos 1961.

Beliau yang pernah memegang jawatan Menteri Pelajaran dari tahun 2004 hingga 2009 juga merupakan anak saudara kepada Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Abdul Razak.

Ini kerana ibu Hishammuddin, Alhmarhum Tun Suhaila Mohammed Noah adalah kakak kepada Alhmarhum Tun Rahah yang juga isteri Almarhum Tun Abdul Razak.

Oleh itu, bekas Menteri Pertahanan ini sekali gus merupakan sepupu kepada Perdana Menteri keenam Datuk Seri Najib Razak.

Hishammuddin adalah ahli UMNO Cawangan Sri Tambak mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan St. John's Kuala Lumpur dan Kolej Melayu Kuala Kangsar sebelum ayahnya dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 1973.

Setelah itu, beliau menuntut ke Sekolah Alice Smith, Kuala Lumpur sebelum ditukarkan ke sebuah sekolah swasta.

Beliau kemudian, melanjutkan pengajian tinggi ke Universiti Wales, Aberystwyth, United Kingdom dengan kelayakan akademik Ijazah Sarjana Muda Undang-undang pada tahun 1984.

Seterusnya Hishammuddin melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana Undang-undang (LLM) Komersil dan Korporat London Scholl of Economics, United Kingdom (UK) tahun 1988.

Sebelum beliau memulakan kerjaya politik, Hishammuddin merupakan seorang peguam di Firma guaman Skrine & Co (kini dikenali sebagai Skrine) dan menubuhkan sebuah firma sendiri dikenali Tetuan Lee Hishammuddin.

Bekas Naib Ketua UMNO Malaysia ini menyertai UMNO tahun 1989 dan dilantik Ketua Pemuda Bahagian Ledang pada tahun 1993 hingga 1995.

Beliau pernah juga dilantik sebagai Ketua Pemuda UMNO Johor, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tenggara dan Ketua UMNO Bahagian Tenggara.

Pada peringkat tertinggi parti, beliau diberi kepercayaan menyandang jawatan Ketua Pemuda UMNO sejak 1998 hingga 2008 sebelum dilantik Naib Presiden UMNO pada 26 Mac 2009 hingga 12 Mei 2018.

Kerjayanya sebagai wakil rakyat bermula apabila beliau bertanding di kerusi Parlimen Tenggara pada piliha raya umum tahun 1995.

Pada tahun 1999, iaitu pilihan raya berikutnya, beliau telah berjaya mengekalkan kerusi parlimen tersebut.

Ekoran kesan daripada persempadanan semula yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), beliau telah bertukar ke kawasan baharu, iaitu Parlimen Sembrong padaPilihan Raya Umum Ke-11 (PRU11).

Sejak menjadi Ahli Parlimen, beliau telah berkhidmat di pelbagai jawatan dalam Kabinet termasuk memegang portfolio sebagai Menteri Kanan.

Bermulanya pada 1995, beliau telah dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Beliau kemudian dilantik sebagai Timbalan Menteri Perusahaan Utama pada tahun 1997.

Sejak tahun 1999 hingga 2004 pula, beliau telah memegang jawatan sebagai Menteri Belia dan Sukan. 

Bukan itu sahaja, beliau juga pernah diberi tanggungjawab sebagai Menteri Pelajaran pada 2004, Menteri Dalam Negeri pada 2009 termasuk Menteri Tugas-tugas khas di Jabatan Perdana Menteri pada 2017.

Menyentuh kehidupan peribadinya, Hishammuddin telah mendirikan rumah tangga dengan Datin Seri Tengku Marsila Tengku Abdullah dan dikurniakan empat orang cahaya mata.

Menggemari sukan taekwando, Hishammuddin mendirikan rumah tangga pada tahun 1986 iaitu tiga tahun sebelum beliau menceburi diri dalam bidang politik.

Menelusuri latar belakang Tengku Marsila, beliau adalah anak kepada Almarhum Tengku Arif Bendahara Pahang Tengku Tan Sri Abdullah Sultan Abu Bakar.

Bapanya ialah adinda Sultan Pahang Kelima, Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billa sekali gus menjadikan Tengku Marsila mempunyai pertalian darah dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Hasil perkongsian hidup selama lebih tiga dekad, pasangan ini dikurniakan empat anak iaitu Nasha Alyssa, Farris Hussein, Kyra Ariana dan Fahd Hussein.

Anak sulung mereka, Nasha Alyssa berkahwin dengan anak kepada Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa (suami kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin), iaitu Muhd Anas Zawawi yang kini dikurniakan tiga orang cahaya mata.

HISHAMMUDDIN HUSSEIN

Berita Popular

Video Popular