Anwar Ibrahim

Datuk Seri Anwar Ibrahim dilahirkan pada 10 Ogos 1947 adalah Ahli Parlimen Port Dickson.

Anak jati Bukit Merajam Pulau Pinang merupakan presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan pengerusi Pakatan Harapan (PH).

Semasa kecil, beliau bersekolah rendah di Bukit Mertajam Boys School, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Kemudian, beliau meneruskan pengajian persekolahan menengahnya di Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dari tahun 1960 hingga 1966. Semasa di MCKK, beliau aktif dalam Persatuan Bahasa Melayu dan menjadi wakil pemidato sekolahnya dan pernah dilantik sebagai ketua pengawas MCKK.

Selepas itu pada tahun 1967, beliau melanjutkan pelajaran tinggi di Universiti Malaya dalam pengajian Melayu (Sastera).

Bercerita mengenai perjalanan politik, beliau merupakan 'anak didik' Tun Dr Mahathir Mohamad, tetapi kemudiannya tampil sebagai seorang pengkritik Tun Mahathir yang lantang bersuara.

Beliau pernah dilantik menjadi presiden Kesatuan Pelajar Islam Malaysia pada tahun 1968 hingga 1971.

Kemudian merupakan pengasas bersama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pada tahun 1971 dan dipilih sebagai Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM).

Kelantangan suara, Anwar kali pertama dipenjara di penjara Kamunting, Perak selama 20 bulan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana terlibat dalam gerakan pelajar pada tahun 1974 selepas mengetuai demostrasi pelajar terhadap kemiskinan dan kelaparan di kawasan luar bandar.

Selepas keluar dari tirai besi, Anwar mengambil keputusan mengejut menyertai Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) diketuai oleh Tun Mahathir selaku perdana menteri sejak 1981.

Terus melebarkan sayapnya dalam UMNO, kerjaya politiknya menjadi cemerlang dan setahun selepas sertai parti keramat itu, beliau dilantik sebagai Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan pada tahun 1983.

Pada tahun 1984, Anwar mengetuai Kementerian Pertanian Malaysia sebelum menjadi Menteri Pendidikan pada tahun 1986. Ketika itu, Anwar berkemungkinan besar akan dilantik Timbalan Perdana Menteri setelah memegang portfolio Menteri Pendidikan.

Ternyata ramalan menjadi realiti, pada tahun 1993, Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri selepas dipilih sebagai Naib Presiden UMNO untuk menewaskan Tun Ghafar Baba yang diramal sebagai pengganti Tun Mahathir.

Setelah menjadi orang kedua terpenting dalam negara, hubungan Anwar dan Tun Mahathir menjadi rapat ibarat isi dan kuku, hubungan anak dan bapa.

Beliau juga pernah dilantik sebagai perdana menteri sementara ketika Tun Mahathir memutuskan untuk mengambil cuti selama dua bulan pada 1997.

Namun setelah itu, hubungan Anwar dan Tun Mahathir merosot akibat perbezaan pandangan semasa mentadbir negara.

Anwar juga semakin lantang bersuara mengkritik budaya nepotisma dan kronisma dalam UMNO sebagai punca utama rasuah dan penyalahgunaan bajet negara.

Kemudian pada 20 September 1998, polis menahan Anwar atas dakwaan rasuah dan menghalang siasatan terhadap tuduhan meliwat.

Pada tahun 1999, beliau telah dijatuhi hukuman penjara selama enam tahun kerana didapati bersalah atas kesalahan penyalahgunaan kuasa.

Dua bulan kemudian, Anwar dijatuhi hukuman kedua selama sembilan tahun, kerana didakwa melakukan kesalahan di luar tabii (liwat).

Bagaimanapun, pada tahun 2004, Mahkamah Persekutuan Malaysia telah menggugurkan sabitan kesalahan liwat terhadap Anwar dan dikeluarkan pada 2 Septemer kerana pihak pendakwa raya gagal mengemukakan bukti kukuh tanpa sebarang keraguan bahawa perbuatan meliwat tersebut telah berlaku.

Pada November 2006, beliau mengumumkan untuk bertanding di Parlimen pada pilihan raya 2008.

Selepas 10 tahun tidak ceburi politik, pada 29 November 2009, beliau kembali ke Parlimen sebagai tetamu menemani isterinya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, wanita pertama mengetuai parti pembangkang.

Anwar menjadi anggota Parlimen selepas memenangi pilihan raya di Permatang Pauh pada Ogos 2008 selepas perletakan jawatan isterinya.

Namun Anwar didakwa meliwat pembantunya, Mohd Saiful Bukhari pada 2008. Bagaimanapun tuduhan itu dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2012 kerana hakim memutuskan bukti DNA dalam kes itu diragui kesahihannya.

Pada 7 Mac 2014, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan sekali lagi Anwar kembali didakwa kes liwat.

Oleh itu, Anwar telah dijatuhkan hukuman penjara lima tahun pada 2015 di penjara Sungai Buloh.

Kemudian selepas menerima pengampunan diraja dari Sultan Muhammad V, beliau dibebaskan dari penjara pada 16 Mei 2018.

Beliau seterusnya bertanding Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson 2018 dan menang besar dengan majoriti 23,560 undi. Anwar menewaskan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad yang bertanding atas tiket Bebas memperoleh 4,230 undi, manakala bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan mendapat 82 undi.

Tiga lagi calon Bebas, Stevie Chan Keng Leong memperoleh 337 undi, manakala Lau Seck Yan (214 undi) dan Kan Chee Yuen (154 undi).

Dalam pada itu, Anwar merupakan satu-satunya warga Malaysia yang pernah tersenarai dalam 100 orang yang dikatakan paling berpengaruh di dunia oleh majalah Time iaitu pada 2008.

 

Pencapaian
Kerjaya:

Jawatan yang pernah disandang dalam kabinet;

  • Ahli Parlimen Port Dickson (2018-kini)
  • Ahli Parlimen Permatang Pauh (2013)
  •  Pemangku Perdana Menteri (1997)
  •  Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (Mac- September 1998)
  • Setiausaha Parlimen Kementerian Kesihatan Malaysia
  • Ketua Pembangkang di Parlimen Malaysia
  •  Timbalan Perdana Menteri (1993 – 1998)
  •  Menteri Kewangan (1990 - 1998)
  • Menteri Pendidikan 1986 - 1990
  •  Menteri Pertanian (1985 - 1986)
  •  Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan (1983 - 1985)
  • Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (1982 - 1983)

Jawatan yang pernah disandang dalam parti;

  • Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR)
  • Pengerusi Pakatan Harapan (PH)
  • Timbalan Presiden UMNO
  • Naib Presiden UMNO
  • Ketua Pemuda UMNO
  • meninggalkan ABIM pada 29 Mac 1982 untuk menyertai UMNO
  • Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM)
  • Penasihat Majlis Belia Bangsa-Bangsa Bersatu (1973)
  • Pemimpin Pengasas dan Presiden kedua sebuah pertubuhan Islam belia dipanggil Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) (1971)
Pendidikan:
  • Universiti Malaya dalam Pengajian Melayu (Sastera) (1967)
  • Dianugerahi ijazah Doktor Kehormat oleh Ateneo de Manila University
  • Anugerah Presiden oleh Georgetown University
  •  Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) (1960-1966)
Penglibatan Politik
Manifesto:
Parti Gabungan: Pakatan Harapan
Parti: PKR
Pilihan Raya Umum Terbaru: PRU14

Kerusi Bertanding PARLIMEN:
  • PRU13- P44 Permatang Pauh
  • PRU14- P132 Port Dickson

Kerusi Bertanding DUN: Tiada

Video Berkaitan Anwar Ibrahim