PRK Kemaman: Pas sasar menang lebih 30,000 majoriti undi

KEMAMAN - Penyandang kerusi Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid memberi laluan kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar untuk mengekalkan kemenangan Pas di kawasan itu dengan majoriti lebih tinggi.

Katanya, Pas Kemaman sebulat suara menyokong pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang itu sebagai calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen itu pada 2 Disember depan.

"Pas Kemaman menyokong penuh pelantikan Dr Sam (Ahmad Samsuri) sebagai calon.

"Tidak timbul sebarang isu terhadap pelantikan beliau.

"Jentera parti kita juga bersiap siaga untuk bekerja sepanjang tempoh pilihan raya kali ini," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Program Ceramah Perdana dan Pengisytiharan Calon Pas PRK P040 Parlimen Kemaman di Arena Square di Cukai, di sini Khamis malam.

Ditanya perasaan beliau setelah tidak dipilih sebagai calon, Yang Dipertua (YDP) Pas Kemaman itu berkata, beliau berlapang dada dan menyokong penuh keputusan itu.

"Saya dari awal lagi sebut (bahawa saya) bergantung kepada keputusan kepimpinan parti, tidak timbul masalah dan saya begitu berlapang dada dengan keputusan ini.

"Kita harap pengundi Kemaman beri sokongan (kepada Pas) sebagaimana sebelum ini dan kita yakin pengundi pun dah kenal beliau sebagai Menteri Besar. Insya-ALLAH sokongan boleh bertambah lagi," katanya.

Che Alias berkata, kali ini Pas menyasarkan untuk menang dengan lebih 30,000 majoriti berdasarkan kaji selidik yang dijalankan sebelum ini.

"Kita jangka akan berlaku pertambahan majoriti.

"Beliau (Ahmad Samsuri) pun dengan orang muda semua tiada masalah sebab sebelum ni pun dia sering turun bertemu rakyat," ujarnya.

Ahmad Samsuri bakal dicabar calon Barisan Nasional (BN) iaitu bekas Panglima Angkatan Tentera, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, calon BN, Datuk Seri Ahmad Said tewas kepada Che Alias di Parlimen berkenaan dengan majoriti 27,179 undi sekali gus menyaksikan Pas mendominasi kesemua lapan kerusi Parlimen di negeri berkenaan.

Sebelum itu, kerusi Parlimen berkenaan turut dimenangi Pas pada PRU14 setelah Alias menewaskan calon BN, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dengan majoriti 2,163 undi.

Alias memperoleh 39,878 undi manakala Ahmad Shabery memperoleh 37,715 undi dan calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Huzaifah Md Suhaimi (12,911 undi).

PRK Parlimen Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ia selepas pihak pempetisyen Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil (pengundi) berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada pilihan raya itu.

Pada 3 Oktober lalu, Pas memutuskan untuk tidak memfailkan sebarang rayuan terhadap keputusan petisyen Parlimen Kemaman yang membatalkan kemenangan parti itu.