Siapa pilihan rakyat?

SEBANYAK 26 kerusi Parlimen dan 56 kerusi Dun di Johor menjadi rebutan pada PRU14.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 20 kerusi Parlimen dan 41 kerusi Dun menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara gabungan parti komponen BN, Pakatan Harapan (Harapan) dan Gagasan Sejahtera.

Selebihnya, sebanyak enam kerusi Parlimen dan 15 kerusi Dun dipertandingkan secara satu lawan satu.

Jika diamati kerusi melibatkan peperangan tiga penjuru bagi parlimen, tumpuan terarah kepada kerusi Pagoh dan Pasir Gudang.

Pagoh menyaksikan penyandangnya iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima tentangan daripada anak didiknya yang kini merupakan Pemangku Ketua Umno Pagoh, Ismail Mohamed.

Malah, Muhyiddin juga perlu berdepan dengan cabaran daripada wakil Pas iaitu Ahmad Nawfal Mahfodz yang juga merupakan anak Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr Mahfodz Mohamed.

Selain itu, Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang mengumumkan untuk bertanding semula kerusi di Parlimen Pasir Gudang, sekali gus menentang Pengerusi PKR Johor, Hassan Karim dan wakil Pas, Ab Aziz Abdullah.

Untuk kerusi Dun pula, tumpuan terarah kepada kerusi Gambir dan Permas.

Kerusi Gambir menyaksikan pertembungan calon heavyweight di mana penyandangnya Datuk M Asojan menentang Muhyiddin (Bersatu) dan Dr Mahfodz (Pas).

Selain itu, Mohamed Khaled yang turut akan mempertahankan kerusi Permas menerima tentangan calon Bersatu dan Pas untuk PRU kali ini.

Secara jelasnya, Muhyiddin dan Mohamed Khaled akan berdepan perlawanan tiga penjuru bagi kedua-dua kerusi yang mereka tandingi.

Beberapa nama besar BN lain seperti Datuk Seri Razali Ibrahim, Datuk Ir Dr Hamim Samuri, Datuk Seri Dr S Subramaniam, Datuk Noraini Ahmad, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong, Datuk Nur Jazlan Mohamed, Datuk Ahmad Maslan bakal mempertahankan kerusi masing-masing.

Begitu juga figura dikenali BN Johor bagi kerusi Dun seperti Datuk Zulkurnain Kamisan, Datuk Samsolbari Jamali, Md Jais Sarday, Datuk Maulizan Bujang, Tan Cher Puk, Datuk Ir Hasni Mohammad dan Datuk Tee Siew Kiong.

Bahkan, fokus juga harus diberikan ke arah calon Bersatu bagi Dun Kempas, Datuk Osman Sapian yang kembali bertanding merebut kerusi tersebut atas tiket Harapan selepas tidak tercalon pada PRU lalu.

Dalam pada itu, perhatian juga tertumpu pada Datuk Md Othman Yusof atau sinonim dengan panggilan MOY yang bertanding di kerusi Dun Kukup setelah namanya tercicir pada PRU13 lalu.

Kemunculan Gagasan Sejahtera

Melihat kepada senario politik semasa tanah air, pertembungan sebenar khususnya di Johor melibatkan gabungan parti komponen BN dan Harapan.

Bagaimanapun, usah diketepikan kemampuan gabungan Gagasan Sejahtera pada PRU kali ini kerana mereka dilihat begitu berani bertanding di lebih banyak kerusi Parlimen dan Dun berbanding sebelumnya.

Lebih menarik, mereka menampilkan ramai calon yang terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuklah ulama, aktivis dan golongan profesional.

Mungkin ramai yang mengatakan kehadiran calon Gagasan Sejahtera di Johor sehingga membentuk perlawanan tiga penjuru sekadar memecahkan undi.

Namun, pada PRU kali ini Pas yang dianggap sebagai pemain penting dalam Pakatan Rakyat sebelum ini kembali dengan persona lebih gah apabila mengetuai blok sendiri yang dikenali sebagai Gagasan Sejahtera.

Jadi untuk PRU14 ini boleh jadi ratio undi rakyat antara BN, Harapan dan Gagasan Sejahtera akan menjadi 30:30:30 di mana setiap calon dalam pertandingan tiga penjuru memiliki peluang untuk menang.

Akan tetapi pemerhati politik melihat pertembungan tiga penjuru pada PRU kali ini memberi kelebihan kepada BN untuk menang kerusi Parlimen dan Dun yang mereka tandingi.

Ada yang mengatakan BN akan menang kerana undi kepada parti selain sudah berpecah.

Harapan vs Pas vs BN

Dahulu, pertembungan hanya terarah kepada BN dan Pakatan Rakyat di mana rakyat hanya perlu memilih antara salah satu, kini ia sudah berbeza sama sekali.

Pada PRU13, PKR dan Pas merupakan komponen utama gabungan pakatan pembangkang berjaya menarik lebih ramai undi Melayu termasuklah di kawasan ditandingi oleh DAP.

Kini, ia sudah berubah apabila terpisahnya Pas daripada gabungan PKR dan DAP.

Soalnya, mampukah Bersatu dan Amanah menjadi pengganti kepada Pas dalam PRU kali ini?

Mampu jugakah Bersatu dan Amanah membantu Harapan memenangi undi Melayu, sekali gus mencetuskan Tsunami Melayu seperti yang mereka canangkan sebelum ini?

Meskipun begitu, pemerhati politik melihat segalanya tertakluk kepada pengundi atas pagar atau golongan tidak berparti untuk memilih calon mana yang akan mewakili mereka pasca PRU14.

Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa pertembungan tiga penjuru ini memperlihatkan peluang yang terbuka kepada Harapan dan Gagasan Sejahtera untuk menewaskan BN.

Pada masa sama, BN juga mempunyai peluang yang cerah untuk menang lebih banyak kerusi Parlimen mahupun Dun dalam perlawanan tiga penjuru hasil daripada perpecahan undi yang akan berlaku nanti.

Sukar untuk menjangkakan gabungan parti komponen mana yang akan menang banyak kerusi dan membentuk kerajaan negeri pasca PRU14 nanti.

Sekiranya undi Cina kekal kepada gabungan parti komponen Harapan, ditambah pula dengan Tsunami Melayu yang memihak kepada mereka, boleh jadi kedudukan BN di Johor akan tergugat.
 

Muhyiddin YassinMohamed Khaled NordinMahfodzPagoh Johor Pas
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :