Kaitkan situasi Palestin dengan Malaysia, pemimpin Pas beri gambaran tidak wajar - Syahredzan

SHAH ALAM - Kenyataan seorang pemimpin Pas yang memberi gambaran seolah-olah apa yang berlaku di Palestin sedang berlaku di Malaysia disifatkan sebagai tindakan melampau dan tidak boleh diterima.

Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkata, Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary menerusi hantaran di Facebook bertajuk 'Belajar daripada sejarah Palestin: Jangan kita ulangi kesilapan yang sama' telah menyeru umat Islam supaya mengambil iktibar daripada nasib yang menimpa rakyat Palestin.

Dalam hantaran itu, Ahmad Marzuk mendakwa rakyat Palestin menerima pendatang Yahudi atas dasar kemanusiaan namun akhirnya menjadi mangsa kezaliman dan diusir keluar dari tanah air mereka sendiri.

Beliau turut mendakwa tanda-tanda perkara sama kini dapat dilihat di tanah air apabila bidang ekonomi semakin dikuasai oleh bukan Islam dan bukan bumiputera termasuk penguasaan terhadap gedung besar, syarikat utama serta tanah strategik.

“Gedung-gedung besar, syarikat utama dan tanah-tanah strategik sudah lama keluar daripada genggaman umat Islam. Kini langkah mereka telah sampai ke Putrajaya, menggubal undang-undang, menulis akta dan perlahan-lahan menata peta kuasa politik negara ini,” katanya seperti dipetik daripada kenyataan tersebut.

Ahmad Marzuk turut mendakwa sejarah Palestin sedang menulis babak baharunya di bumi Malaysia jika kita terus lena sambil mengaitkannya dengan perjuangan Pas selama ini.

Mengulas lanjut, Syahredzan berkata, mesej yang cuba disampaikan oleh pemimpin Pas itu jelas menggambarkan seolah-olah orang Melayu dan Islam bakal menerima nasib sama seperti rakyat Palestin sekiranya lalai, dengan menuding kepada golongan bukan Melayu dan bukan Islam sebagai pelakunya.

“Kita semua bersatu menentang kezaliman Israel dan tindakan rejim Zionis yang tidak berperikemanusiaan. Namun, mengaitkan rakyat Malaysia bukan Islam dan bukan Melayu dengan apa yang dilakukan Israel ke atas Palestin adalah tindakan melampau dan tidak boleh diterima,” katanya.

Beliau mengingatkan Pas bahawa orang bukan Melayu dan bukan Islam telah bersama-sama orang Melayu serta Muslim membina negara ini. Justeru, pemimpin Perikatan Nasional (PN) seperti Ahmad Marzuk tidak wajar mempersoalkan keikhlasan mereka demi kepentingan politik sempit.

Ujarnya, rakyat Malaysia baru sahaja meraikan sambutan Deepavali dalam semangat muhibah dan kebersamaan, seperti yang ditekankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, agar rakyat menghargai serta mempertahankan kepelbagaian dalam negara.

“Malangnya, pemimpin Pas seperti Datuk Ahmad Marzuk sanggup memberi gambaran bahawa rakyat Malaysia bukan Melayu dan bukan Islam sebagai musuh dalam selimut yang mempunyai agenda jahat terhadap orang Melayu dan Muslim.

“Jelas bahawa Pas masih membawa politik perkauman sempit yang memecahbelahkan masyarakat. Rakyat Malaysia yang mencintai keharmonian diseru menolak politik lapuk seperti ini,” tegas beliau.

Pada masa sama, Syahredzan mencabar rakan-rakan politik Pas dalam Perikatan Nasional serta sekutu mereka dalam gagasan longgar Ikatan Prihatin Rakyat untuk menyatakan pendirian berhubung kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin parti itu.