KUALA LUMPUR - Kepimpinan dan keteguhan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam mempertahankan prinsip Islam serta memperjuangkan agenda perpaduan ummah menjadi sumber inspirasi kepada seluruh ahli dan pendokong Pas.
Badan Perhubungan Pas Wilayah Persekutuan dalam satu kenyataan turut merakamkan ucapan sanah helwah ke-78 kepada Presiden Pas itu sebagai tanda penghargaan atas sumbangan dan jasanya dalam memimpin perjuangan Islam di tanah air.
Ketua Penerangannya, Izamuddin Ludin berkata, pihaknya mendoakan agar Abdul Hadi terus dikurniakan kesihatan yang berpanjangan, kekuatan rohani dan jasmani serta sentiasa mendapat taufik dan hidayah daripada ALLAH SWT.
“Semoga ALLAH terus memelihara dan merahmati Tuan Guru dalam meneruskan amanah perjuangan Islam,” katanya dalam kenyataan itu.
Kenyataan berkenaan turut menyebut slogan parti, 'Islam Adalah Penyelesaian' sebagai simbol komitmen terhadap dasar perjuangan Islam yang dibawa oleh Abdul Hadi.