SHAH ALAM - Keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang memberi kemenangan moral kepada Sabah dalam isu hak 40 peratus hasil Persekutuan yang diperolehi dari negeri itu bakal menjadi ujian keikhlasan politik semua pihak menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
Penganalisis politik, Mujibu Abd Muis berkata, isu itu bukan sahaja menguji komitmen kerajaan Persekutuan tetapi juga menjadi penanda aras terhadap keikhlasan parti-parti politik Sabah dalam memperjuangkan hak negeri.
Katanya, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu memulihkan persepsi rakyat, Pakatan Harapan (PH) pula perlu mengurus kesan fiskal tanpa menolak hak negeri manakala parti lokal akan memanfaatkannya sebagai simbol perjuangan sebenar Sabah menjelang PRN.
“Keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu baru-baru ini memberi kemenangan moral besar kepada Sabah namun implikasi politiknya berbeza mengikut kedudukan setiap blok.
“Bagi kerajaan negeri di bawah GRS, situasinya dilihat paradoks. Mereka yang mengaku memperjuangkan hak Sabah tetapi melantik peguam mewakili kerajaan negeri menyertai kerajaan Persekutuan mencabar locus standi SLS, menimbulkan persepsi tidak konsisten,” katanya kepada Sinar Harian.
Pada Jumaat, kerajaan Sabah menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) berhubung hak negeri itu terhadap geran khas 40 peratus daripada hasil Persekutuan sebagai satu kemenangan bermakna.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, keputusan tersebut mengesahkan kedudukan Sabah yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan menuntut supaya kerajaan Persekutuan menunaikan tanggungjawabnya terhadap negeri berkenaan.
Mengulas lanjut Mujibu berkata, menjelang PRN, GRS dijangka mengambil pendekatan berhati-hati iaitu mengiktiraf keputusan mahkamah sebagai kemenangan Sabah namun menekankan rundingan rasmi sebagai jalan penyelesaian bagi mengelak konfrontasi dengan Pusat.
“Kerajaan Persekutuan dan parti-parti PH pula berdepan dilema fiskal dan politik. Mereka tidak boleh menolak keputusan mahkamah tetapi pada masa sama sukar menjanjikan pelaksanaan segera.
“Mereka dijangka kekal berhati-hati dengan menekankan ‘kajian teknikal’ dan ‘penyelarasan kewangan’ sambil cuba mengekalkan imej menghormati semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” ujarnya lagi.
Tambah beliau, keputusan mahkamah itu turut membuka ruang besar dalam gelanggang politik Sabah bagi parti-parti lokal seperti Parti Warisan dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).
Beliau melihat Warisan akan menonjolkan diri sebagai suara konsisten membela hak negeri serta menjadikan tindakan GRS mencabar SLS sebagai bukti kelemahan moral lawan.
“STAR pula dijangka mengeksploitasi perkara ini sebagai naratif utama perjuangan hak Sabah dengan Presidennya, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan antara tokoh sinonim memperjuangkan hak-hak negeri itu,” menurut Mujibu.
Bagaimanapun, beliau menegaskan, secara undang-undang dan politik, keputusan Mahkamah Tinggi itu wajar dihormati.
“Keputusan Mahkamah Tinggi bukan hanya kemenangan moral tetapi juga perintah sah yang menetapkan tempoh tertentu untuk rundingan semakan.
“Keputusan itu turut memberi rangka masa 90 hingga 180 hari untuk tindakan bersama dan meletakkan tanggungjawab kepada Putrajaya untuk memulakan semakan serta berunding,” jelas beliau.
Justeru, tambah beliau, kerajaan Persekutuan perlu menyatakan komitmen jelas bila dan bagaimana formula baharu agihan 40 peratus hasil akan dilaksanakan.
“Jika Putrajaya terus berlindung di sebalik alasan ‘kajian teknikal’, ia akan dilihat sebagai mengingkari keputusan mahkamah serta menjejaskan kepercayaan rakyat Sabah terhadap komitmen Persekutuan.
“Tindakan terbaik ialah mengumumkan garis masa, mekanisme rundingan dan kaedah audit bersama agar proses ini dilihat telus dan berlandaskan semangat MA63,” katanya.
Sementara itu, Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Madya Dr Romzi Ationg pula berpandangan, kerajaan Persekutuan wajib melaksanakan tanggungjawab tersebut sewajar dengan keputusan mahkamah itu.
Beliau tidak menolak terdapat kemungkinan ada pihak tertentu akan mempolitikkan isu hak 40 peratus itu demi kelangsungan politik mereka namun menegaskan perkara ini sebenarnya tidak wajar dipolitikkan.