PRN Sabah: Tuduhan rasuah bermotif politik, lemahkan parti menjelang pilihan raya - PBS

TUARAN - Parti Bersatu Sabah (PBS) menegaskan bahawa tuduhan rasuah yang dilemparkan terhadap dua pemimpin kanannya merupakan serangan bermotifkan politik bagi melemahkan parti menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Ketua Penerangan PBS, Datuk Joniston Bangkuai berkata, tuduhan yang mengaitkan Pemangku Presiden Datuk Seri Joachim Gunsalam dan Timbalan Presiden Datuk Seri Jahid Jahim itu jelas digunakan oleh pihak tertentu untuk mengalih tumpuan dan menggugat kekuatan parti ketika tempoh penting menjelang pilihan raya.

"Pemangku presiden dan timbalan presiden kita telah memberikan penjelasan berhubung perkara tersebut, dan saya percaya pemimpin di semua peringkat serta ahli dan penyokong masih teguh menyokong parti.

"Kami menganggap tuduhan ini sebagai agenda politik yang direka untuk melemahkan PBS. Kita tidak boleh teralih perhatian oleh permainan seperti ini," katanya ketika berucap pada majlis beramah mesra rakyat di Kampung Bambangan Lama, di Kiulu di sini pada Isnin.

Joniston yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu menegaskan bahawa PBS tidak pernah lari daripada prinsip perjuangannya yang berteraskan akauntabiliti, kejujuran dan ketelusan dalam setiap aspek pentadbiran dan politik.

"Walaupun ada pihak cuba memanipulasi isu ini sebagai peluru politik, PBS akan terus memberi tumpuan kepada perkara yang paling penting, berkhidmat kepada rakyat dan mengekalkan kepercayaan mereka," katanya.

Menurut Joniston lagi, PBS memandang serius kepercayaan rakyat dan keyakinan itu tidak boleh dibina dengan kata-kata semata-mata, sebaliknya perlu dibuktikan melalui integriti, khidmat dan tanggungjawab yang berterusan.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) turut mengingatkan ahli serta penyokong PBS supaya kekal bersatu, berdisiplin dan fokus menjelang PRN17, sambil menegaskan bahawa parti itu komited memainkan peranan utama dalam memastikan gabungan tersebut memperoleh mandat rakyat untuk terus memimpin negeri ini.

"PBS akan terus memperjuangkan kebajikan rakyat dan memastikan pembangunan serta peluang dinikmati secara menyeluruh di bawah pentadbiran GRS," ujarnya.

Dalam pada itu, Joniston berkata, rakyat kini mampu menilai sendiri prestasi kerajaan GRS berdasarkan rekod pencapaian yang jelas dan boleh disahkan, bukan berpaksikan tuduhan tidak berasas yang disebarkan oleh pihak lawan.

"Rakyat akan menilai GRS berdasarkan fakta, bukan fitnah.

"Fakta dan angka tidak menipu, di bawah GRS, Sabah mencatat hasil dan rizab tertinggi dalam sejarah negeri ini. Ia membuktikan pengurusan yang bertanggungjawab serta kepimpinan yang berwibawa.

"Ini adalah fakta yang boleh disahkan oleh pihak berkuasa dan agensi berkaitan," katanya.