Enam hari selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim belum mengumumkan barisan kabinet yang akan membantu beliau menjalankan tugas pentadbiran di Putrajaya.
Walau sedar cabaran yang dihadapi ahli parlimen Tambun itu mengurus kerajaan yang dianggotai bukan wakil dari partinya sahaja malah parti-parti lain, pilihan sebenarnya amat terhad kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu untuk menangguhkan pengumuman barisan kabinet pimpinannya walaupun untuk sehari lagi.
Situasi dalam dan luar negara agak terlalu mendesak PM memperkenalkan segera pasukannya kepada umum - bagi mengelak keresahan jadi bertambah besar.
Petunjuk-petunjuk yang diberikan Anwar sebelum mengumumkan kabinetnya walau bagaimanapun telah diberi lebih awal sebelum ini di mana beliau mengatakan saiz kabinet tidak akan lebih besar daripada sebelum ini.
Beliau juga dalam salah satu ceramah semasa kempen PRU15 menyatakan gaji menteri akan dipotong selain beliau sendiri selaku PM tidak mengambil gaji bagi jawatannya - situasi yang membayangkan kabinetnya akan dianggotai orang yang sanggup bersusah-payah bersama-sama rakyat.
Kabinet bersih
Dalam ucapan sulungnya kepada penjawat awam di Putrajaya pula, Anwar menyatakan tiada menteri yang dapat menerajui kementeriannya ke arah kejayaan tanpa sokongan dan dukungan para penjawat awam - ini pula satu petunjuk kepada menteri-menteri yang bakal dilantik bahawa jawatan menteri bukanlah bermaksud mereka adalah bos besar yang punya kuasa tak tercabar di kementerian tersebut.
Anwar malah menegaskan kerajaan tidak akan lagi menjalankan projek tanpa tender sebaliknya semua projek akan menjalani proses terder terbuka bagi mengelakkan rasuah dan ketirisan.
Semua penyataan ini seharusnya menghantar mesej bahawa kabinet yang akan diumumkan nanti akan dianggotai mereka yang dilihat bersih dan tidak terlibat dengan sebarang salah guna kuasa dalam rekod perkhidmatan mereka.
Seterusnya, kita ada situasi geopolitik dan geoekonomi dunia yang sebenarnya tidak mengizinkan kita membuang waktu lagi daripada menyusun rencana di peringkat kepimpinan tertinggi negara.
Amaran Bank Dunia akan kemelesetan ekonomi kepada negara-negara membangun, nilai ringgit berbanding dolar yang masih belum memuaskan, pasaran saham, keyakinan pelabur, harga barang, kadar inflasi dan sebagainya - ada banyak kerja yang perlu diselesaikan para menteri baru ini sebelum penggal mereka berakhir empat atau lima tahun lagi.
Pasukan Anwar
Setiap menteri seharusnya mampu bergerak dalam satu pasukan Anwar. Jangan ulangi kesilapan menteri-menteri sebelum ini yang bergerak secara in silo tanpa ada kesatuan fikrah dengan menteri-menteri yang lain.
Justeru, menteri harus mempunyai kemahiran pelbagai dan bersifat merentas kementeriannya sendiri. Jangan tersekat dalam ruang pejabat kementeriannya sebaliknya isu perlu dilihat secara keseluruhan dari perspektif mata burung.
Dan menteri tidak semestinya punya kelulusan yang berkaitan dengan kementerian yang diterajuinya kerana tugasnya bukan seperti penjawat awam di peringkat pelaksana sebaliknya mereka adalah para politikus yang berperanan selaku penggubal dasar dan memastikan agenda negara terlaksana lewat kementerian yang mereka kendalikan.
Pengalaman Khairy Jamaluddin sebagai Menteri Kesihatan adalah contoh klasik yang boleh digunakan apabila beliau yang tidak mempunyai latar belakang kesihatan atau perubatan mampu melaksanakan tugas di kementerian yang kritikal tersebut dengan cukup baik.
Ini kerana beliau tidak perlu ada pengetahuan begitu mendalam tentang kesihatan dan penjagaan kesihatan kerana tugas tersebut dijaga oleh Ketua Pengarah dan para penjawat awam yang lain manakala beliau hanya menjalankan tugas eksekutif sebagai ahli politik di sana.