PH berada dalam dua 'dua kolam', Bung Moktar tak tolak kemungkinan wujud komplikasi

KOTA KINABALU - Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin tidak menolak kemungkinan wujud sedikit komplikasi menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17), susulan rakan kerjasama mereka, Pakatan Harapan (PH) turut bersekutu dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Bung Moktar yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah berkata, meskipun tidak berlaku sebarang masalah besar, situasi tersebut boleh mencetuskan kekeliruan dan memerlukan pendekatan strategik untuk ditangani.

"Masalah tidak ada, cuma dia komplikasi. Ada sedikit keraguan, itu yang kita bincangkan dengan penuh semangat tadi. Insya-ALLAH kita akan cari pendekatan untuk mengatasi perkara ini," katanya dalam sidang media di Bangunan UMNO di sini pada Isnin.

Beliau menyifatkan PRN kali ini sebagai bersifat dinamik dan mencerminkan realiti politik semasa negeri itu.

"PRN Sabah kali ini memang dinamik dan kedinamikanya ini akan mencetuskan mungkin sedikti komplikasi, jadi kita tunggu keadaan. Kalau keadaan terpaksa, bermakna kita lakukan apa yang terbaik untuk parti," katanya.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas sama ada langkah PH yang berada dalam 'dua kolam' berpotensi menimbulkan kesulitan kepada Barisan Nasional (BN).

Mengulas lanjut mengenai jumlah kerusi yang dicadangkan, Bung Moktar memaklumkan bahawa BN mencadangkan sebanyak 48 kerusi untuk ditandingi, namun tidak mendedahkan jumlah kerusi yang dicadangkan oleh pihak Pakatan Harapan (PH).

"Jumlah hampir begitu (dakwaan 23 kerusi yang diminta PH kepada GRS)... Saya pun kurang pasti, tapi banyak juga dia minta. Cuma sudah ada persetujuan, tinggal ada berapa kerusi lagi kita akan perhalusi bersama.

"Insya-ALLAH (rundingan jumlah kerusi) tidak lama lagi akan selesai, dalam masa terdekat ini," katanya.

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa 48 kerusi yang dicadangkan itu akan dipertimbangkan dan dipersetujui oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dengan mengambil kira bahawa UMNO Sabah mempunyai autonomi penuh dalam menentukan hala tuju serta keputusan politik di peringkat negeri.

"Kita mempunyai autonomi. Presiden akan mendengar pandangan kita kerana UMNO Sabah mempunyai kuasa menentukan sendiri. Ini bukan parti Malaya," tegasnya.

Mengenai kedudukan BN dan PH yang berkemungkinan bertanding berasingan di beberapa kawasan, Bung Moktar menyatakan keyakinan bahawa hubungan baik antara kedua-dua pihak di peringkat Persekutuan akan memberi kelebihan kepada BN di Sabah.

"Diharap mereka akan menyokong kami kerana kita juga menyokong mereka di peringkat Persekutuan. Sebab kami UMNO bantu mereka di peringkat Pusat dengan 30 kerusi, sedangkan GRS hanya enam kerusi. Jadi, dia fikirlah mana satu besar, mana satu kecil," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai pembahagian kerusi untuk parti komponen lain seperti MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Bung Moktar menjelaskan bahawa perkara tersebut masih belum dimuktamadkan sepenuhnya, namun semua parti komponen akan diberikan ruang dalam agihan tersebut.

"Belum kita putuskan tetapi ada, semua komponen kita berikan dalam 48 kerusi yang dicadangkan," katanya.

Dalam masa sama, beliau turut memaklumkan bahawa BN Sabah telah menetapkan langkah bagi mengelakkan calon yang menang melompat parti selepas PRN nanti.

"Itu kita telah isytiharkan akan membuat beberapa perjanjian dengan calon dan saya cukup yakin calon kali ini kita pilih mereka yang ada kesetiaan dalam parti.

"Kita lihat selama ini dalam pembangkang pun mereka tidak goyang, jadi saya yakin mereka bukan seperti calon yang dulu menjadi pengkhianat," katanya.