KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Barisan Nasional (BN) Sabah akan menampilkan 81 peratus calon baharu, termasuk 50 peratus terdiri daripada calon muda pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, UMNO Sabah kini berada dalam keadaan bersiap siaga dan penuh semangat untuk menghadapi PRN17.
"Saya ingin memaklumkan 81 peratus adalah calon-calon muka baharu dan anak-anak muda untuk BN.
"Anak muda 50 peratus. Wanita ada tapi belum diputuskan tetapi memang ada," katanya pada sidang media di bangunan UMNO Sabah, di sini pada Isnin.
Beliau yang juga Ketua UMNO Sabah turut memaklumkan bahawa seramai 614,994 ahli UMNO di seluruh negeri telah digerakkan bagi menghadapi pilihan raya kali ini.
"Daripada jumlah itu, seramai 474,252 adalah ahli UMNO yang boleh mengundi dalam pilihan raya dan kita akan mengumumkan kerusi-kerusi serta senarai calon satu minggu sebelum penamaan calon diadakan.
"Kita juga akan melancarkan jentera pilihan raya BN dan melancarkan janji tawaran baharu kita iaitu Rancangan Pembangunan Sabah Satu kepada rakyat negeri Sabah.
"Bermacam-macam tawaran kita buat, tawaran baharu untuk kita perbetulkan ekonomi dan juga masa depan hidup rakyat negeri Sabah. Anak-anak muda juga tidak ketinggalan dalam rancangan program kita pada masa depan," katanya.
Mengenai tawaran baharu yang akan dikemukakan, beliau berkata, antara fokus utama ialah mewujudkan tabung kemakmuran negeri yang mengutamakan masa depan rakyat Sabah.
"Untuk pendidikan kita telah memberi jaminan beri pendidikan percuma kepada seluruh anak Sabah sampai ke universiti," katanya.
Bung Moktar turut menyatakan keyakinan beliau bahawa formula seimbang antara kekuatan akar umbi dan idealisme pembaharuan dalam parti pimpinannya menjadi kelebihan UMNO berbanding kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
"Belum pun masa yang panjang, GRS telah berpecah. Ini disebabkan oleh krisis keyakinan antara mereka dan yang paling jelas krisis keyakinan rakyat dengan GRS sudah hilang sama sekali.
"Ini disebabkan kegagalan GRS mengurus isu-isu Sabah, ekonomi Sabah dan masa depan Sabah. Apa juga hujah daripada pemimpin GRS merupakan retorik dan janji-janji palsu," katanya.
Sehubungan itu, beliau yakin rakyat kini lebih bijak dalam memilih calon dan parti yang bukan sahaja mampu menawarkan pembaharuan, tetapi juga membawa impak besar kepada rakyat.
"UMNO Sabah akan menekankan disiplin dan mesej yang jelas bahawa UMNO Sabah telah bersedia untuk menjadi kerajaan negeri Sabah dan memperbetulkan masa depan Sabah itu sendiri.
"Kami harap rakyat khususnya pengundi bersama-sama untuk kita mengubah masa depan yang baik untuk rakyat dan negeri Sabah," katanya.