Chean Chung umum letak jawatan Ahli Parlimen Petaling Jaya

SHAH ALAM - Lee Chean Chung mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya berkuat kuasa serta-merta, susulan keputusan penggantungan keahliannya dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) selama tiga tahun.

Beliau berkata, tindakan itu dibuat selepas menerima keputusan penggantungan pada 30 September lalu, selain mendakwa akses terhadap peruntukan RM3 juta bagi kawasan Petaling Jaya sebelum ini telah disekat dan digunakan wakil parti.

Menurutnya, keadaan menjadi lebih serius apabila beliau tidak lagi dibenarkan berbahas atau menyatakan pendirian dalam parti, manakala pengurusan peruntukan kawasan pula diambil alih melalui proses yang didakwa tidak telus.

"Selama ini saya bersuara mengenai pelbagai isu rakyat (dan) jangkaannya, ini antara sebab-sebab yang mengakibatkan saya digantung.

"Namun, masalah rakyat tidak akan berhenti hanya kerana saya diarahkan untuk diam.

"Adakah saya patut terus menerima gaji sebagai ahli Parlimen tetapi hanya duduk senyap seperti tunggul? Tidak," katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Jumaat.

Beliau menjadi ahli Parlimen keempat daripada PKR yang meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat selepas Datuk Seri Rafizi Ramli (Pandan), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa) dan Wong Chen (Subang).

Chean Chung menegaskan semakin keliru dengan hala tuju Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, meskipun sebelum ini berstatus ahli Parlimen penyokong kerajaan.

Malah beliau mendakwa, terdapat perubahan standard dalam isu rasuah, penyalahgunaan kuasa dan reformasi institusi berbanding ketika Pakatan Harapan (PH) berada sebagai pembangkang.

Beliau turut membangkitkan isu dakwaan pemilikan saham berlebihan melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, dakwaan RM9.5 juta diberikan kepada seorang ahli Parlimen PKR serta gesaan supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan berkaitan mafia korporat.

Selain itu beliau turut mempersoalkan isu kes berprofil tinggi yang berakhir dengan keputusan dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) serta kelewatan reformasi untuk memisahkan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

"Rakyat berhak bertanya, mengapa dahulu kita begitu marah terhadap rasuah, penyalahgunaan kuasa dan kerosakan institusi, tetapi apabila peluang memegang kerajaan, standardnya berubah?

"Ada yang berkata Anwar masih pilihan terbaik, bahawa kerajaan perlu berkompromi kerana ini Kerajaan Perpaduan," ujarnya.

Sementara itu mengenai kedudukannya dalam parti, Chean Chung menjelaskan, PKR merupakan parti politik pertama yang disertainya dan meninggalkan kerjaya korporat untuk memberi sebahagian besar usia mudanya kepada perjuangan politik.

Menurutnya, sepanjang tempoh 2008 hingga 2022, beliau telah melalui pelbagai tekanan politik termasuk turun ke jalan raya berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), didakwa di bawah Akta Perhimpunan Aman dan berulang kali hadir ke mahkamah.

"Saya tidak pernah menyesal. Saya berterima kasih kepada PKR atas peluang sepanjang 18 tahun ini dan kepada rakan-rakan seperjuangan yang masih percaya kepada politik bersih, reformasi institusi dan sebuah Malaysia yang meraikan kepelbagaian.

"Tetapi kerana begitu ramai rakyat pernah menyokong perjuangan ini tanpa meminta balasan, saya tidak boleh terus mencari alasan untuk mempertahankan perkara yang saya sendiri tidak lagi mampu pertahankan.

"Walaupun saya meletakkan jawatan sebagai ahli Parlimen, Pusat Khidmat Petaling Jaya akan terus beroperasi seperti biasa," katanya.