Bersatu perlukan kerjasama dengan parti politik lain - Penganalisis

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu bekerjasama dengan parti politik lain sekiranya ingin mendapatkan keputusan lebih baik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN) di Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Mashitah Mohd Udin berkata, pengalaman bertanding dua PRN iaitu Johor dan Negeri Sembilan harus menjadi asas penilaian bagi parti berkenaan.

Menurutnya, melihat kepada perkembangan tersebut, kemungkinan untuk parti yang diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin bertanding secara solo dilihat bukan pilihan pada masa ini.

“Pengalaman dua PRN tersebut memang relevan untuk dijadikan bahan penilaian strategi. Kepimpinan Bersatu sendiri menyatakan keputusan itu akan diteliti melalui proses bedah siasat parti.

“Di Negeri Sembilan, Bersatu bertanding menggunakan simbol sendiri dan keputusan rasmi menunjukkan Perikatan Nasional (PN) memperoleh 7 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Barisan Nasional (BN) memperoleh 18 dan Pakatan Harapan (PH) 11 kerusi,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada Bersatu akan bergerak solo atau kemungkinan menjalin kerjasama dengan parti lain bagi menghadapi PRN Melaka tidak lama lagi.

Sementara itu, ditanya kemungkinan PH berpotensi menjadi rakan kerjasama Bersatu susulan perkembangan semasa, Mashitah berkata, perkara itu bukan sesuatu yang mustahil berlaku.

Bagaimanapun katanya, pintu rundingan politik masih mempunyai ruang tetapi kedudukan PH-Bersatu belum boleh dianggap sebagai satu pakatan muktamad.

“Perkembangan ini menunjukkan politik PRN Melaka masih berada dalam fasa penyusunan semula blok dan rundingan kerusi, bukannya fasa keputusan akhir.

“PH memang muncul sebagai salah satu kemungkinan yang sedang diperhatikan, tetapi setakat ini belum boleh dianggap sebagai keputusan rasmi,” katanya.

Beliau berkata, Bersatu lebih cenderung menggunakan pendekatan rundingan terlebih dahulu terutama bagi mengelakkan pertandingan tiga atau lebih penjuru yang boleh memecahkan undi.

“Bagi Bersatu, rundingan mungkin memberi beberapa pertimbangan strategik antaranya untuk mengurangkan pertembungan sesama pembangkang, menentukan pembahagian kerusi yang lebih realistik dan menyatukan sumber jentera,” katanya.

Namun ujarnya, kerjasama juga tetap mempunyai ‘kos’ politik kerana setiap parti perlu mempertimbangkan identiti, prinsip dan penerimaan penyokong masing-masing.