SHAH ALAM - Wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang keluar atau dipecat diingatkan mengenai lafaz sumpah dan baiah yang menetapkan mereka perlu meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan atau membayar RM10 juta kepada parti.
Peringatan itu diberikan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dipercayai susulan perkembangan terbaharu membabitkan salah seorang pemimpin parti itu yang memberi bayangan untuk meninggalkan Bersatu.
Menurut beliau, berdasarkan kandungan sumpah dan baiah berkenaan, ahli-ahli Bersatu telah berikrar mematuhi Perlembagaan Bersatu, dasar serta arahan parti.
"Lafaz tersebut juga menyebut jika mereka meninggalkan Bersatu atau bertukar ke parti lain, mereka akan dilaknat ALLAH, Rasul dan orang beriman, selain segala perbelanjaan menggunakan elaun Ahli Dewan berkenaan adalah haram.
"Sumpah dan baiah turut menetapkan mereka akan meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan atau membayar RM10 juta kepada Bersatu apabila keluar atau dipecat daripada parti," katanya dalam satu hantaran Facebook pada Khamis.
Sebelum ini, pimpinan Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris dipercayai memberi bayangan akan menyertai parti baharu susulan hantaran menyentuh mengenai 'wadah baharu' yang dikongsikan di media sosialnya.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri itu berkata, beliau mengambil keputusan untuk berhenti selepas kira-kira 10 tahun bersama pimpinan Bersatu di Terengganu.
Justeru, Tun Faisal mengingatkan, peringatan berkenaan dibuat sebagai tazkirah kepada mereka yang terbabit sekiranya pernah membaca dan melafazkan sumpah serta baiah tersebut.