'Paling sedih bila pengkhianatan datang daripada mereka sebangsa' - AMK

SHAH ALAM – Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyuarakan kekecewaan terhadap pengkhianatan daripada bangsa sendiri yang menjadi suatu realiti menyedihkan, terutama melibatkan pihak yang sebelum ini lantang melaungkan sentimen membela nasib orang Melayu.

Ketua Penerangannya, Danish Hairudin berkata, golongan terbabit sebenarnya sekadar mengambil kesempatan atas kepercayaan yang diberikan oleh orang Melayu sendiri.

Menurutnya, institusi seperti Universiti Teknologi MARA (UiTM), Majlis Amanah Rakyat (Mara), Felda dan Tabung Haji membawa harapan yang besar orang Melayu, namun apabila amanah tersebut dimanipulasi, yang terluka ialah mereka yang meletakkan kepercayaan sepenuhnya.

"Apabila kerosakan dan kepincangan ini terbongkar, bangsa lain pula yang dijadikan kambing hitam.

"Rakyat disuruh marah kepada pihak lain supaya tangan yang mengkhianati amanah terlepas daripada pertanggungjawaban," katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook pada Khamis.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) UiTM Holdings Sdn Bhd, Azlizan Fadzil, 53, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada Khamis, atas satu pertuduhan melakukan pecah amanah membabitkan wang RM37.37 juta, sembilan tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh selaku Ketua Pegawai Eksekutif UiTM Holdings Sdn Bhd (UHSB), diberikan amanah dengan penguasaan ke atas harta iaitu wang RM37,374,612.68 yang diperuntukkan untuk pelaburan pembangunan penjanakuasaan elektrik solar photovoltaic berskala besar berkapasiti 50 megawatt (MW) di Gambang, Pahang.

Dia didakwa melakukan pecah amanah jenayah terhadap harta tersebut dengan secara tidak jujur dan menyalahgunakannya melalui pelbagai pembayaran bagi tujuan selain daripada tujuan yang ditetapkan.

Mengulas lanjut, Danish berkata, ketika menuntut di UiTM, pelajar sering didendangkan dengan lagu Warisan, dididik untuk mencintai tanah air, menghargai pengorbanan generasi terdahulu dan memelihara warisan yang ditinggalkan.

“Dulu, kami menyanyikan lagunya dengan bangga. Hari ini, pesannya terasa begitu pedih. Warisan rupanya boleh hilang di tangan pewaris sendiri.

"Pengajaran lagu Warisan itu kini terasa semakin berat. Menjaga warisan menuntut kejujuran, bukan sekadar semangat ketika menyanyikannya," katanya.