Wawasan hormati pendirian Pas dalam pembahagian kerusi

SHAH ALAM - Parti Wawasan Negara (Wawasan) menghormati pendirian Pas untuk tidak menyerahkan kerusi yang dikenal pasti berpotensi menang kepada mana-mana parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Naib Presidennya, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, ketika ini soal pembahagian kerusi antara parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) belum dibincangkan.

Menurut beliau, Wawasan menyerahkan sepenuhnya kepada Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk berbincang dengan kesemua presiden parti dalam gabungan mengenai perkara tersebut.

"Saya pasti Pas pun menghormati rakan-rakan dalam gabungannya. Pas ini sebuah parti yang beradab. Jadi sudah pasti adab yang dipelajari dalam usrah-usrah juga membuatkan mereka juga menghormati rakan-rakan gabungan.

"Jadi sebab itu, saya yakin bila berlaku perbincangan di peringkat presiden-presiden nanti semua perkara ini akan dapat diuruskan dengan baik, Insya-ALLAH," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung perkara tersebut.

Muhammad Sanusi berkata, kerusi berkenaan akan dikenal pasti Jentera Pilihan Raya Pas Pusat serta negeri.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, beliau yakin isu berkaitan pembahagian kerusi dapat diselesaikan dengan baik apabila rundingan diadakan di peringkat presiden parti.