ALOR SETAR - Persefahaman antara UMNO dan Pas berpotensi berkembang menjadi formula menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) sekiranya kedua-dua parti berjaya menyelesaikan isu pembahagian kerusi dan memastikan pemindahan sokongan antara penyokong masing-masing.
Felo Penyelidik Ilham Centre, Mujibu Abd Muis berkata, perkembangan hubungan antara kedua-dua parti ketika ini sudah lebih daripada sekadar simbolik, namun masih belum dianggap kesepakatan menuju PRU16.
Menurutnya, kehadiran pemimpin UMNO pada Muktamar Pas dan kesediaan Pas menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) menunjukkan kedua-dua parti sedang membina semula saluran komunikasi serta mengurangkan tahap permusuhan politik.
"Perkembangan ini berlaku selepas pengalaman Johor dan Negeri Sembilan yang menunjukkan pengurangan pertembungan sesama parti Melayu boleh memberi keuntungan dari sudut kerusi.
"Kedua-dua parti kini mempunyai pengalaman bahawa kerjasama atau persefahaman taktikal boleh memberi keuntungan pilihan raya. Jadi, hubungan yang sedang dibina ini mempunyai kepentingan strategik," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Bagaimanapun, Mujibu berkata, persoalan utama masih belum terjawab termasuk pembahagian kerusi, kepimpinan dan hala tuju selepas pilihan raya.
Beliau berkata, Pas juga masih menegaskan mahu mempertahankan kerusi dimenanginya, justeru hubungan yang semakin baik tidak semestinya menjadikan rundingan kerusi lebih mudah.
Menurutnya, kesan paling besar daripada persefahaman UMNO-Pas ialah potensi mengurangkan pemecahan undi Melayu.
"PRU15 menunjukkan bagaimana pertandingan tiga atau empat penjuru boleh menyebabkan undi Melayu berpecah dan menghasilkan keputusan yang sukar diramal.
"Jika UMNO dan Pas mampu mengelakkan pertembungan di kawasan tertentu, mereka boleh meningkatkan peluang memenangi lebih banyak kerusi majoriti Melayu," ujarnya.
Namun, Mujibu mengingatkan bahawa undi UMNO dan Pas tidak boleh dianggap sebagai angka yang boleh dicampurkan begitu sahaja.
"Penyokong kedua-dua parti mempunyai identiti, sentimen dan keutamaan berbeza, selain sebahagian pengundi UMNO mungkin tidak selesa dengan Pas dan begitu juga sebaliknya.
"Faktor calon, prestasi kerajaan, ekonomi, kos sara hidup dan isu tempatan masih menjadi penentu," Jelasnya.
Beliau berkata, kerjasama UMNO-Pas boleh mengukuhkan kedudukan kedua-dua parti di kerusi majoriti Melayu, tetapi ia mempunyai had politik terutama di kawasan campuran.
"Jika naratif kerjasama terlalu tertumpu kepada penyatuan Melayu dan Islam, kedua-dua parti mungkin berdepan kesukaran mendapatkan sokongan bukan Melayu serta pengundi sederhana.
"Cabaran mereka bukan sekadar menyatukan undi Melayu, tetapi menukarkan penyatuan itu kepada majoriti nasional yang mencukupi untuk bentuk kerajaan," katanya.
Dalam pada itu, Mujibu tidak melihat perkembangan hubungan UMNO-Pas ketika ini sebagai Muafakat Nasional (MN) 2.0 sebaliknya, ia sebagai bentuk kerjasama strategik yang lebih fleksibel dan pragmatik.
"UMNO mahu mempertahankan kedudukannya melalui BN, Pas mahu memperluaskan pengaruh, manakala Bersatu pula berdepan persoalan tentang kedudukannya dalam PN. Sebab itu hubungan UMNO-Pas sekarang bukan sekadar isu dua parti. Ia boleh menjadi sebahagian penjajaran semula blok politik Melayu menjelang PRU16," katanya.
Mujibu berkata, PAU dan perkembangan selepas PRN Melaka boleh menjadi titik penting bagi melihat hala tuju hubungan kedua-dua parti.
"Jika gagal, ia mungkin kekal sebagai kerjasama taktikal di beberapa negeri sahaja," katanya.