'Agenda penyatuan ummah Pas selektif'

PETALING JAYA - Agenda penyatuan ummah yang dibawa Pas dilihat bersifat selektif apabila terdapat parti politik tertentu dijemput, manakala parti Melayu yang sebelum ini menjadi rakan gabungan seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sendiri pula seolah-olah dipinggirkan.

Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, keadaan itu menimbulkan persoalan mengenai kesungguhan Pas dalam merealisasikan agenda penyatuan ummah yang sering dilaungkan parti berkenaan.

Menurutnya, penyatuan ummah sepatutnya merangkumi usaha menemukan titik persamaan antara semua pihak, bukannya hanya melibatkan parti atau kelompok yang dilihat sehaluan.

"Kalau dikatakan politik sekarang ini mencabar, sebenarnya bukan mencabar tetapi memeningkan.

"Penyatuan ummah macam mana kalau dalam usaha hendak mewujudkan penyatuan ummah, tetapi ia lebih terpilih? Ada parti yang dijemput, ada parti gabungan dan sahabat sendiri yang tidak dijemput dan sebagainya. Jadi, saya sendiri tidak faham. Kita kena tanya kepada mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai agenda penyatuan ummah yang dibawa Pas termasuk pendirian parti itu ketika penubuhan Perikatan Nasional (PN) yang pada ketika itu turut mengajak UMNO dan Barisan Nasional (BN) bersama dalam gagasan berkenaan.

**media[3638767]**

Muktamar Pas Ke-72 sebelum ini sebulat suara menerima dan meluluskan usul memperkasa agenda penyatuan ummah ke arah pengukuhan kekuatan politik Melayu-Islam dan kestabilan negara.

Usul berkenaan antara tujuh usul yang dipersetujui pada hari terakhir muktamar tahunan Pas bertemakan 'Penyelesaian Islam Mengisi Kemenangan' pada Sabtu.

Usul itu dikemukakan Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP) susulan pandangan bahawa kesatuan umat Islam merupakan antara asas penting kepada kekuatan umat, kestabilan politik, keharmonian masyarakat dan kesejahteraan negara.

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berpandangan semua parti politik pada hakikatnya hanya mewakili segmen tertentu dalam masyarakat dan tidak boleh mendakwa mewakili keseluruhan rakyat atau pengundi negara.

"Kalau kita bawa sesuatu wadah perjuangan untuk semua, contohnya kesemua parti politik, kalau hendak dikira dari segi jumlah keahlian, kita bukan mewakili keseluruhan rakyat atau pengundi dalam negara ini.

"Kita mewakili segmen ataupun kumpulan tertentu, tetapi usaha yang kita lakukan ialah untuk yang ramai, untuk keseluruhan.

"Itulah usaha kita dalam kepimpinan politik dalam parti dan di negara kita ini," katanya.

Sehubungan itu, beliau berpandangan sekiranya Pas benar-benar mendukung perjuangan untuk semua termasuk perjuangan Islam untuk semua, segala gagasan dibawa dalam Muktamar Pas wajar didengari bukan sahaja oleh rakan politik malah pihak lawan.

"Kalau mereka benar-benar mendukung satu perjuangan untuk semua, perjuangan Islam untuk semua, maka penting untuk segala hujahan mereka, perkara yang hendak dibawa melalui ucapan dasar ataupun ucapan perasmian di dalam Muktamar Pas perlu didengari rakan dan lawan supaya ia dapat membawa kepada satu titik pertemuan.

"Mungkin kita boleh mencari titik pertemuan bagaimana untuk kita memajukan lagi negara kita, memperkasakan lagi agama dan bangsa," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal menyifatkan pendekatan yang berlaku ketika ini lebih menjurus kepada permainan politik apabila parti tertentu lebih diberi ruang berbanding pihak yang pernah menjadi rakan perjuangan.

"Parti yang digemari dipanggil, manakala parti yang bukan parti Melayu juga lebih diterima daripada parti Melayu itu sendiri.

"Jadi, saya rasa pelik dan saya harap perkara ini dapat diperbaiki. Tentunya, kalau kita dapat memperbaiki perkara itu, kita akan lebih dihormati," katanya.

Beliau turut mengingatkan agenda penyatuan ummah perlu dilaksanakan dengan keikhlasan dan tindakan yang selari dengan apa dilaungkan oleh pemimpin politik.

"Saya tidak mahu mengajar mana-mana pihak, tetapi penyatuan ummah kalau kita bercakap sebagai orang politik, sebagai pemimpin, kita kena bercakap dengan penuh ikhlas dan diambil dengan tindakan sewajarnya.

"Jangan cakap di bibir tentang penyatuan ummah, bercakap tentang rumah bangsa. Tetapi kita melakukan tindakan-tindakan yang tidak selari dengan perkara-perkara yang kita katakan," katanya.