Muafakat UMNO-Pas hanya beri kesan jangka pendek buat PH

KUANTAN - Muafakat UMNO-Pas hanya akan memberi kesan kepada Pakatan Harapan (PH) untuk jangka masa pendek sebagaimana yang berlaku di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan baru-baru ini.

Pengarah Strategi PH Pahang, Rizal Jamin berpandangan, untuk garis masa yang panjang beliau tetap yakin rakyat tetap akan memberi keutamaan terhadap parti politik yang mengutamakan tatakelola dan pembangunan negara seperti digagaskan PH.

Menurutnya, Muafakat UMNO-Pas lebih kepada strategi parti-parti berkenaan di dalam meraih sokongan pengundi namun sama ada ia akan membawa impak positif kepada orang Melayu dan rakyat secara umum bagi jangka masa sederhana atau panjang masih boleh diperbahaskan.

"Kita sudah melihat perkara ini semasa pentadbiran kerajaan yang dipimpin PN pasca Langkah Sheraton pada 2020-2022 di mana kepimpinan negara bertukar dua kali daripada PN ke BN.

"PH pula pada pandangan saya sentiasa berpegang kepada prinsip asas perlembagaan yang sentiasa menjunjung agama Islam dan bumiputera melalui raja-raja Melayu di dalam pembentukan kerajaan," katanya.

Rizal berkata, paling penting perkhidmatan kepada rakyat, pembangunan negara berlandaskan pentadbiran yang efisien dan tatakelola baik.

"Ini gagasan kita (PH) kepada rakyat untuk dipertimbangkan dan semua ini diterjemahkan melalui kerangka Ekonomi Madani dan perlaksanaannya sedang berjalan sepanjang empat tahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

"Justeru cabaran sebenar kepada PH pada hemat saya bagaimana untuk kita berkomunikasi dan berinteraksi dengan lebih baik dengan rakyat semua kaum tentang perkara positif hasil daripada usaha berlatarkan Ekonomi Madani itu," ujarnya.