UMNO kekal, tiada tebuk atap

KUALA LUMPUR – Komitmen UMNO terhadap Kerajaan Perpaduan kekal menjadi ‘pancang’ yang tidak akan dikompromi walaupun parti itu terus membuka ruang pertemuan dan persefahaman politik dengan pemimpin pembangkang.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan sebarang hubungan termasuk pertemuan di Bangkok tidak pernah bertujuan membentuk kerajaan baharu atau menjatuhkan pentadbiran sedia ada.

“Ya memang ada pertemuan di Bangkok, tetapi tidak pernah dibincangkan untuk menebuk atap, tidak pernah,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Ahad.

Menurut Ahmad Zahid, UMNO akan kekal bersama Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga tamat penggal.

“Sebab pegangan UMNO (adalah) kita mesti berada dalam Kerajaan Perpaduan hingga ke akhir penggal.

“Ini kita letakkan sebagai satu pancang, sebab itu kita tidak ada kompromi,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika mengulas pertemuannya dengan beberapa pemimpin pembangkang di luar negara yang sebelum ini mencetuskan spekulasi mengenai kemungkinan perubahan jajaran politik.

Pertemuan di Bangkok itu sebelum ini dilaporkan membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, manakala Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang turut dikaitkan dengan pertemuan berkenaan kemudian menafikan penglibatannya.

Pertemuan tersebut sebelum ini dilaporkan menyentuh soal perpaduan Melayu dan Islam.

Penegasan Ahmad Zahid itu hadir ketika hubungan politik antara UMNO-BN dan PH kembali menjadi perhatian susulan persaingan kedua-dua gabungan dalam pilihan raya negeri serta perkembangan kerjasama UMNO dengan parti pembangkang.

Bloomberg pada Jumaat melaporkan berdasarkan sumber yang mengetahui perkara itu bahawa hubungan Anwar dan Ahmad Zahid dikatakan semakin merosot sejak beberapa minggu kebelakangan ini, antaranya susulan persaingan politik di Johor dan Negeri Sembilan. Pejabat kedua-dua pemimpin tidak memberi respons kepada Bloomberg ketika laporan itu diterbitkan.

Mengulas perkembangan di Johor dan Negeri Sembilan, Ahmad Zahid berkata, persefahaman yang berlaku di kedua-dua negeri itu tidak bermaksud UMNO mengubah pendirian terhadap Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

Menurutnya, persefahaman mengenai pembahagian kerusi merupakan hasil persetujuan politik antara parti yang terlibat bagi mengelakkan pertembungan.

“Yang penting pendirian UMNO tetap kekal tidak akan tebuk atap,” ujar beliau.