'UMNO-Pas makin serius, tetapi belum capai pakatan PRU16 ' - Penganalisis

ALOR SETAR - Hubungan UMNO dan Pas dilihat semakin bergerak ke arah penjajaran strategik menjelang PRU16, namun masih terlalu awal untuk menganggap kedua-dua parti itu sudah membentuk pakatan pilihan raya.

Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia, Profesor Madya Dr Mashitah Mohd Udin berkata, perkembangan terbaru antara dua parti Melayu terbesar itu menunjukkan wujud pendekatan lebih serius berbanding hubungan yang sekadar bersifat simbolik.

**media[3638035]**

Menurutnya, perkembangan seterusnya akan bergantung kepada penerimaan akar umbi, kesediaan berkongsi kawasan dan kuasa, serta kemampuan kedua-dua parti mengurus perbezaan kepentingan.

“Secara logiknya, ada perkembangan substantif, tetapi belum sampai tahap pakatan pilihan raya formal. saya akan kategorikan keadaan sekarang sebagai pendekatan strategik dan belum sebagai pakatan pilihan raya,” katanya kepada Sinar Ahad.

Beliau berkata demikian mengulas laporan muka depan akhbar Sinar Harian mengenai kunjungan simbolik apabila UMNO hadir ke Muktamar Pas dan Pas pula akan menghantar wakil ke Perhimpunan Agung UMNO.

Walau bagaimanapun, Mashitah berkata, ukuran sebenar sama ada hubungan UMNO dan Pas sudah memasuki fasa kerjasama pilihan raya ialah apabila kedua-dua parti mula mencapai kesepakatan berkaitan pembahagian kerusi dan strategi pilihan raya.

Katanya, jika kerjasama berkembang kepada pembahagian kerusi, penyelarasan strategi serta persetujuan untuk mengelakkan pertandingan sesama sendiri, ia mula mempunyai fungsi politik yang menyerupai Muafakat Nasional (MN) walaupun tidak menggunakan nama tersebut.

“Jika UMNO dan Pas hanya mengadakan perbincangan, mencari titik persamaan dan mengurangkan serangan sesama sendiri, saya tidak melihatnya sebagai kelahiran semula MN,” katanya.

Menurut Mashitah, antara persoalan yang perlu diberi perhatian adalah sama ada penyatuan kepimpinan parti akan turut mampu menghasilkan penyatuan undi di peringkat akar umbi.

Katanya, penyokong UMNO dan Pas mempunyai sejarah, identiti politik dan kecenderungan yang berbeza.

“Sebahagian pengundi mungkin menerima kerjasama tersebut, tetapi sebahagian yang lain mungkin tidak selesa untuk mengundi calon daripada parti yang selama ini mereka anggap sebagai pesaing.

“Oleh itu, keberkesanan kerjasama tersebut sangat bergantung kepada sejauh mana kedua-dua parti mampu meyakinkan akar umbi bahawa kerjasama itu untuk capai matlamat bersama, bukannya sekadar pembahagian kuasa antara elit politik,” ujar Mashitah.