KUALA TERENGGANU - Perkembangan terbaharu yang menyaksikan Pas kembali mengangkat gagasan perpaduan ummah dan membuka ruang kerjasama dengan UMNO memberi isyarat bahawa hubungan kedua-dua parti Melayu-Islam itu semakin mendapat perhatian.
Penganalisis politik, Dr Azrie Azeh berkata, persoalan lebih besar ketika ini ialah sama ada perkembangan tersebut sekadar pembentukan persefahaman politik atau benar-benar menjadi asas kepada kelahiran semula kerjasama seperti Muafakat Nasional (MN).
"Pada Muktamar Pas Ke-72, agenda perpaduan ummah dilihat semakin menonjol, termasuk ruang untuk Pas bekerjasama atau mencapai persefahaman dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN).
"Perkembangan itu sekali gus mencetuskan persoalan mengenai sejauh mana kedua-dua parti bersedia mengenepikan persaingan politik masing-masing demi menghadapi PRU16," katanya kepada Sinar Ahad.
Menurut Azrie, PRU16 bakal menjadi medan ujian sebenar untuk menilai sejauh mana keikhlasan perikatan tersebut.
"Kejujuran sesebuah koalisi politik diukur melalui kesanggupan membuat pengorbanan konkrit seperti tidak bertembung di kawasan tertentu, mewujudkan formula kerusi, dan mekanisme penyelesaian konflik. Jika semua itu tidak berlaku, hubungan tersebut masih berada pada tahap strategi politik dan rundingan kuasa semata-mata.
"PRU16 akan menjadi ujian sebenar. Jika UMNO dan Pas gagal mengatasi ego parti dan percanggahan kepentingan, slogan perpaduan mungkin hanya tinggal retorik serta menjadi satu lagi episod drama politik Melayu yang tidak berkesudahan," ujarnya.
Beliau berkata, rasional kerjasama UMNO-Pas sememangnya wujud memandangkan kedua-duanya mempunyai pengaruh besar dalam segmen pengundi Melayu, khususnya di kawasan luar bandar.
"Jika bertanding secara berasingan, pertandingan tiga penjuru berpotensi memecahkan undi Melayu dan buka ruang kepada parti lain memenangi kerusi dengan jumlah undi lebih kecil.
"Ini selari dengan pandangan bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar yang berpandangan pertembungan perlu dielakkan demi mengurangkan risiko perpecahan," ujar beliau.
Bagaimanapun, katanya, cabaran terbesar dalam merealisasikan kerjasama itu terletak pada isu pembahagian kerusi dan kesanggupan untuk berkorban.
"Kerjasama mudah disebut, namun pembahagian kerusi sukar dilaksanakan. Jika Pas mahu bertanding lebih banyak kerusi berdasarkan prestasi pilihan raya lalu, UMNO pula mempunyai alasan tersendiri untuk mempertahankan kerusi tradisi mereka.
"Kejayaan kerjasama bukan bergantung kepada sejauh mana pemimpin boleh mengeluarkan kenyataan mengenai perpaduan, tetapi sejauh mana mereka sanggup berkorban dari sudut kepentingan parti masing-masing," ujarnya.
Azrie berkata, isu kepercayaan dan rekod sejarah hubungan lalu juga menjadi faktor kritikal yang perlu ditangani oleh kepimpinan kedua-dua parti.
"Sebab itu, persoalan kepercayaan menjadi jauh lebih penting daripada slogan perpaduan. Jika mereka benar-benar mahu membina kerjasama baharu, mereka perlu menjawab persoalan asas seperti siapa yang akan mengetuai gabungan, bagaimana kerusi dibahagikan, dasar bersama, serta penyelesaian konflik di peringkat akar umbi.
"Tanpa jawapan ini, kerjasama berisiko kekal sebagai persefahaman taktikal sementara," katanya.