UMNO siap sedia jika PRU16 lebih awal

KUALA LUMPUR – UMNO bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) pada bila-bila masa sekiranya ia dipanggil lebih awal, termasuk seawal minggu depan.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tahap kesiapsiagaan parti membolehkan persiapan dibuat dalam tempoh terdekat sehingga penghujung penggal Parlimen ke-15.

“Ada faktor-faktor lain sebenarnya yang menentukan pilihan raya umum ini diadakan awal atau sehingga akhir jeda waktu.

“Jadi kita akan lihat sendiri apakah faktor-faktor yang akan menimbangkan kelewatan ataupun awalan pilihan raya umum nanti,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) sebelum ini mencadangkan supaya PRU16 diadakan lebih awal berbanding tempoh penggal Parlimen yang hanya berakhir penghujung tahun depan.

Cadangan berkenaan turut disokong Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang berpandangan pilihan raya lebih awal boleh menamatkan ketidaktentuan politik dan memberi peluang kepada rakyat menentukan semula mandat pemerintahan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menjelaskan pembubaran Parlimen dan penetapan masa pilihan raya tertakluk kepada Yang di-Pertuan Agong selepas menerima nasihat Perdana Menteri.

“Kita sebagai anggota kerajaan merasakan bahawa itu perkara yang Perdana Menteri punyai pemikiran sendiri untuk mengikat waktu yang sesuai bagi dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong,” ujarnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat berkata, cadangan PRU16 lebih awal akan difikirkan terlebih dahulu kerana fokus kerajaan ketika ini ialah ekonomi, kesejahteraan rakyat serta usaha membanteras salah guna kuasa dan ‘sakau’.

Beliau turut menegaskan Kerajaan Perpaduan masih stabil dan perlu memberi tumpuan melaksanakan mandat untuk mentadbir serta mengurus negara dengan baik.