BN-PN uji formula baharu

SHAH ALAM - Kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang mula memperlihatkan pola baharu dalam pilihan raya berpotensi mengubah landskap politik negara, namun masih terlalu awal untuk dianggap sebagai formula kemenangan sesebuah pakatan.

Selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang menyaksikan sokongan pengundi Melayu beralih kepada BN di beberapa kawasan susulan arahan kepimpinan Pas, senario hampir sama kini mula kelihatan di Negeri Sembilan.

Perkembangan itu menimbulkan persoalan sama ada kerjasama kedua-dua gabungan tersebut mampu menjadi asas kepada penjajaran politik baharu menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) atau sekadar strategi sementara bagi mengelak pertembungan sesama parti pembangkang.

Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis berpandangan kerjasama di negeri beradat itu ketika ini lebih bersifat taktikal berbanding satu penyatuan politik yang benar-benar kukuh.

Menurutnya, matlamat utama kerjasama adalah memaksimumkan undi anti Pakatan Harapan (PH), bukannya membentuk satu gabungan baharu yang menyeluruh.

"Kerjasama BN-PN di Negeri Sembilan masih terlalu awal untuk dianggap sebagai satu formula yang pasti berjaya.

"Jika Bersatu benar-benar bertanding menggunakan logo sendiri, ia menunjukkan masih wujud keinginan untuk mengekalkan identiti dan ruang politik masing-masing.

"Dan ia penting kerana dalam pilihan raya, pemindahan undi tidak berlaku secara automatik hanya kerana ada persetujuan di peringkat kepimpinan," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Tambah beliau, pengundi masih dipengaruhi oleh identiti parti, sejarah persaingan dan penerimaan terhadap calon dengan kejayaan kerjasama itu bergantung kepada sejauh mana penyokong akar umbi sanggup menerima kompromi tersebut.

**media[3584815]**

Sebelum ini Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon BN bagi PRN Negeri Sembilan berkata, kerjasama antara dua gabungan itu akan diumumkan dalam masa terdekat, dengan baki 11 kerusi daripada 36 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang belum diumumkan parti tersebut akan ditentukan oleh pihak berkenaan.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan pula berkata, BN hanya mengumumkan 25 calon kerana masih menunggu keputusan rundingan dengan 'rakan'.

ARTIKEL BERKAITAN: Bersama tidak sertai PRN Negeri Sembilan, beri tumpuan kepada Melaka

Sokongan Melayu merosot di Johor, PH rombak strategi hadapi PRN Negeri Sembilan - Amirudin

'Formula Johor' boleh jadi resipi BN

Sementara itu, mengulas kemungkinan formula sama diterapkan di Melaka dan negeri lain, Mujibu menjelaskan setiap negeri mempunyai realiti politik tersendiri dan tidak boleh disamakan.

Malah katanya, komposisi etnik, budaya politik dan sejarah pertandingan menjadikan pendekatan di sesebuah negeri tidak semestinya sesuai dilaksanakan di negeri lain.

"Apa yang berkesan di Johor atau Negeri Sembilan belum tentu berjaya di Melaka. Parti perlu menilai kekuatan tempatan, sejarah pertandingan dan penerimaan pengundi sebelum mengulangi formula sama.

"Saya lihat kerjasama ini lebih berpotensi berlaku di negeri-negeri mempunyai banyak kerusi marginal dan pertandingan tiga penjuru yang boleh memecahkan undi," ujarnya.

Mengulas kemungkinan kerjasama itu diperluaskan pada PRU16, beliau berpendapat cabarannya jauh lebih besar berbanding pilihan raya negeri, namun wujud peluang jika diberi ruang.

Mujibu berkata, pembentukan kerajaan Persekutuan melibatkan pelbagai isu kompleks termasuk pembahagian kerusi, calon Perdana Menteri, agihan kuasa dan kepimpinan gabungan.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Linggi bukan kerusi selamat, itu kubu kuat BN' - Aminuddin

DAP anggap Aminuddin panglima perang, pilih sebagai 'poster boy' PH

Jangan jadikan krisis institusi Diraja sebagai bahan kempen - PM

PRN Negeri Sembilan: Aminuddin tinggalkan Sikamat, bakal bertanding di Linggi

"Semua ini adalah isu yang tidak wujud dalam kerjasama taktikal di beberapa kerusi negeri. BN dan PN masih bersaing untuk segmen pengundi Melayu yang sama.

"Selagi persoalan siapa akan menjadi peneraju gabungan tidak diselesaikan, sukar untuk membentuk kerjasama yang benar-benar stabil di peringkat nasional.

"Persaingan politik mungkin tidak lagi tertumpu kepada tiga blok utama seperti BN, PH dan PN, sebaliknya berubah kepada pertandingan dua gabungan besar," katanya.

Justeru dalam keadaan itu, Mujibu menegaskan, PH perlu memperluaskan sokongan rentas kaum dan mengukuhkan pengaruh di kerusi campuran, manakala BN dan PN pula harus membuktikan kerjasama mampu menawarkan pentadbiran yang stabil.