Kerjasama BN, PN bukti politik matang - Khir Toyo

SHAH ALAM – Kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam dua Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor dan Negeri Sembilan menjadi manifestasi politik matang yang diyakini mampu membawa impak lebih besar kepada rakyat dan negara.

Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo berkata, kematangan politik bukan sekadar membentuk pakatan, sebaliknya menilai setiap keputusan berdasarkan manfaat yang bakal dinikmati rakyat dan kepentingan negara dalam jangka panjang.

Menurutnya, majoriti rakyat menyedari kerajaan Madani membawa lebih banyak kemudaratan sekiranya terus dikekalkan.

"Justeru semua parti politik mempunyai tanggungjawab untuk memastikan hasrat rakyat diterjemahkan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

"Politik matang bererti menilai dan memastikan keputusan akhir sesuatu tindakan itu membawa impak yang baik kepada rakyat dan negara," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mohamad Khir berkata, perkembangan kerjasama yang berlaku pada PRN Johor dan Negeri Sembilan menjadi petanda kepada gelombang baharu politik negara.

Katanya, kerjasama antara dua parti Melayu itu wajar didukung semua pihak kerana diyakini mampu memberi kesan lebih besar kepada masa depan negara.

Beliau turut mengibaratkan hubungan itu dengan peribahasa 'carik-carik bulu ayam akhirnya bercantum juga' dan 'biduk lalu kiambang bertaut' sebagai simbol penyatuan selepas perbezaan pendapat.

"Peganglah agama dan tali ALLAH, insya-ALLAH kita akan berjaya," jelas beliau.

Pada Sabtu lalu, BN berjaya memenangi PRN Johor selepas mendapat 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala lapan kerusi lagi berpihak kepada PH.

Terdahulu, BN mengumumkan bertanding di 25 kerusi DUN pada PRN Negeri Sembilan, manakala sehari selepas itu PN pula melengkapkan kerjasama apabila mengumumkan 11 calon dalam PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos depan.

Pengumuman itu sekali gus melengkapkan jumlah keseluruhan 36 kerusi yang diperuntukkan.