CORAK pertandingan yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berpotensi berulang di Negeri Sembilan apabila Bersatu memilih bertanding secara bersendirian, manakala Perikatan Nasional (PN) bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN).
Senario itu membuka kemungkinan berlakunya pertandingan tiga atau empat penjuru di beberapa kerusi, sekali gus mengubah percaturan yang sebelum ini lebih tertumpu kepada saingan antara Pakatan Harapan (PH) dan gabungan BN-PN (Pas).
Tumpuan kini terarah kepada pengumuman calon Bersatu pada Jumaat yang dijangka memperlihatkan komposisi kerusi dan sasaran mereka.
Namun persoalannya kini bukan lagi berapa banyak kerusi yang mampu dimenangi Bersatu, sebaliknya siapa yang bakal menerima manfaat daripada kehadiran parti itu.
Penganalisis Sosiopolitik dari Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr Awang Azman Awang Pawi tidak menolak kemungkinan Bersatu menjadi 'talian hayat' kepada PH, namun ia bergantung kepada kemampuan parti itu menarik undi Melayu.
Menurutnya, keputusan Bersatu bertanding menggunakan logo sendiri selepas tidak dilibatkan dalam rundingan kerusi, sedangkan BN hanya mengumumkan 25 daripada 36 kerusi kerana masih berunding dengan PN yang pada praktiknya banyak digerakkan Pas, menjadikan kemungkinan pertandingan tiga atau empat penjuru semakin nyata.
"Sekiranya Bersatu bertanding di semua kerusi majoriti Melayu atau mencabar kerusi yang diperuntukkan kepada BN dan Pas, parti itu sebenarnya melakukan dua eksperimen politik serentak.
"Pertama, ia menguji sama ada Bersatu mempunyai pengundi sendiri atau selama ini bergantung pada jenama PN, kekuatan akar umbi Pas dan pengaruh Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"Kedua, ia mengukur sejauh mana undi Melayu masih boleh dipindahkan secara automatik antara Pas, Bersatu dan UMNO," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, dalam sistem majoriti mudah, Bersatu tidak semestinya perlu menang untuk memberi kesan besar kerana memperoleh sekitar lima hingga 15 peratus undi di sesuatu kerusi sudah memadai untuk mengubah keputusan, khususnya di kawasan marginal.
ARTIKEL BERKAITAN: Bersama tidak sertai PRN Negeri Sembilan, beri tumpuan kepada Melaka
Sokongan Melayu merosot di Johor, PH rombak strategi hadapi PRN Negeri Sembilan - Amirudin
'Formula Johor' boleh jadi resipi BN
Mampu hakis BN-PN
Menurutnya, penyokong Bersatu lebih bertindih dengan kelompok pengundi PN, pengundi protes Melayu dan bekas penyokong UMNO, menyebabkan parti itu lebih berpotensi menghakis undi BN-PN (Pas) berbanding undi teras PH.
"Di sinilah Bersatu boleh menjadi 'talian hayat tidak disengajakan' kepada PH. PH boleh menang bukan kerana berlaku lonjakan besar sokongan terhadapnya tetapi kerana undi yang mahu menewaskannya berpecah antara BN, Pas dan Bersatu.
"Bagaimanapun, BN dan Pas setakat ini masih mempunyai peluang yang tinggi untuk memenangi PRN Negeri Sembilan.
"PH pula hanya perlu mempertahankan undi asas bukan Melayu, pengundi bandar dan sebahagian pengundi Melayu sederhana untuk melepasi garisan kemenangan," katanya.
Bagaimanapun, Awang Azman berkata, kesan itu tidak semestinya berlaku di semua kerusi kerana Bersatu juga berpotensi menarik undi Melayu atas pagar yang kecewa terhadap UMNO tetapi kurang selesa dengan Pas, iaitu kelompok yang mungkin turut menjadi sasaran PKR atau Amanah.
"Justeru, faktor calon tempatan, kekuatan jentera, kadar keluar mengundi serta persepsi mengenai parti yang paling berpotensi menang akan menentukan arah sebenar pecahan undi.
"PRN 2023 menunjukkan Bersatu mempunyai jejak sokongan tertentu apabila memenangi Labu dan Gemas, manakala Pas memenangi tiga lagi kerusi PN. Namun kemenangan itu dicapai di bawah payung PN, bukannya melalui ujian jenama Bersatu secara bersendirian," jelasnya.
Beliau berpandangan, Bersatu mungkin bukan pencabar utama untuk membentuk kerajaan negeri, tetapi mampu menjadi faktor yang menentukan siapa akhirnya membentuk kerajaan.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Linggi bukan kerusi selamat, itu kubu kuat BN' - Aminuddin
DAP anggap Aminuddin panglima perang, pilih sebagai 'poster boy' PH
Jangan jadikan krisis institusi Diraja sebagai bahan kempen - PM
PRN Negeri Sembilan: Aminuddin tinggalkan Sikamat, bakal bertanding di Linggi
Pecah undi
Sementara itu, Pensyarah Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Madya Dr Syaza Farhana Mohamad Shukri pula melihat kehadiran Bersatu berpotensi memberi kelebihan kepada PH, namun bukan kerana kekuatan Bersatu semata-mata.
Menurutnya, sekiranya Bersatu bertanding secara meluas di kerusi majoriti Melayu, pertandingan tiga penjuru boleh menyebabkan undi pembangkang berpecah.
"Kalau Bersatu masuk bertanding di semua kerusi Melayu, ia memang berpotensi memecahkan undi dan memberi kelebihan kepada PH. Bagaimanapun, saya tidak begitu yakin Bersatu mampu menarik undi Melayu dalam jumlah yang besar daripada BN.
"Kalau melihat trend di Johor, walaupun ketika itu Bersatu bergerak di bawah PN, mereka sebenarnya berjuang untuk kekuatan sendiri, namun sokongan yang diterima tidak begitu besar," ujar beliau.
Ditanya mengenai matlamat penyertaan Bersatu dalam PRN Negeri Sembilan, Syaza Farhana berkata, parti itu tetap meletakkan kemenangan sebagai keutamaan, namun pada masa sama mahu membuktikan ia masih relevan dalam landskap politik negara.
"Bagi saya, Bersatu memang mahu menang. Itu keutamaan mereka tetapi pada masa sama, mereka juga mahu memastikan undi lawan berpecah kerana masih melihat BN dan PH sebagai musuh politik utama.
"Selain itu, penyertaan ini penting untuk memastikan Bersatu terus relevan dan mengekalkan kehadiran dalam politik Malaysia sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang.
"Realitinya, peluang Bersatu agak terhad, namun mereka tetap perlu menunjukkan parti itu masih mempunyai sokongan dan tidak tenggelam daripada landskap politik negara," kata beliau.