Muka lama masih taruhan penting BN

PENGUMUMAN 25 daripada keseluruhan 36 calon awal Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini menyaksikan sebahagian besar penyandang, khususnya daripada UMNO masih dikekalkan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

Pendekatan itu memperlihatkan muka lama atau pemimpin berpengalaman masih menjadi taruhan penting bagi menghadapi pilihan raya yang akan menjadi pengukur sebenar kekuatan BN sebelum menuju Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Daripada 25 calon yang diumumkan, BN akan bertanding di 16 kerusi dengan tiga daripadanya muka baharu, manakala selebihnya ialah penyandang atau pemimpin lama.

MCA pula bertanding di tujuh kerusi, dengan tiga daripadanya muka baharu dan MIC di dua kerusi DUN.

Selain mengekalkan nama besar seperti Datuk Seri Jalaluddin Alias di DUN Pertang, Datuk Seri Mohamad Hasan (Rantau) dan Datuk Mohd Asna Amin (Lenggeng), perhatian turut tertumpu di DUN Linggi.

Ia menyaksikan pertembungan antara Menteri Besar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan bekas Exconya, Datuk Mohd Faizal Ramli.

**media[3584797]**

Penganalisis politik dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Hussain Yusri Zawawi berkata, pengekalan pemimpin berpengalaman penting bagi menjamin kestabilan organisasi dan mengekalkan keyakinan penyokong tradisi.

Namun katanya, penampilan beberapa muka baharu juga menunjukkan gabungan itu meneruskan kesinambungan kepimpinan sambil membawa imej lebih segar menjelang hari pengundian.

"Muka lama mempunyai kelebihan dari segi pengalaman, jaringan akar umbi dan memiliki rekod perkhidmatan yang sudah dikenali rakyat.

"Pada masa sama, kemunculan calon baharu memberi gambaran BN bersedia melakukan pembaharuan dan memberi ruang kepada generasi pelapis," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Bagaimanapun ujarnya, sama ada calon itu lama atau baharu bukan lagi faktor utama kerana lebih penting ialah sejauh mana calon itu diterima masyarakat setempat, dikenali pengundi dan mampu menyelesaikan isu-isu tempatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Bersama tidak sertai PRN Negeri Sembilan, beri tumpuan kepada Melaka

Sokongan Melayu merosot di Johor, PH rombak strategi hadapi PRN Negeri Sembilan - Amirudin

'Formula Johor' boleh jadi resipi BN

Jelas beliau, dalam PRN, faktor calon sering memainkan peranan lebih besar berbanding sentimen nasional.

Mengulas peluang BN, Hussain Yusri berpandangan BN mempunyai peluang baik untuk mempertahankan sebahagian besar kerusi disandang, khususnya di kawasan memiliki jentera parti yang kukuh dan penyandang yang masih mendapat kepercayaan rakyat.

Namun katanya, usaha menawan kerusi yang kini dipegang PH memerlukan strategi kempen lebih tersusun kerana BN bukan sahaja perlu mengekalkan so-kongan tradisi, malah perlu menarik pengundi atas pagar dan se-bahagian penyokong PH.

"Di kerusi majoriti rendah, faktor calon menjadi sangat penting. Isu tempatan, hubungan calon dengan masyarakat dan kadar keluar mengundi boleh menjadi faktor penentu kemenangan.

"Oleh itu, kerusi seperti Seri Menanti, Juasseh, Kota, Ampangan dan Klawang dijangka menjadi antara penentu landskap keseluruhan keputusan PRN Negeri Sembilan," katanya.

**media[3584798]**

Pertembungan satu lawan satu dengan PH

Sementara itu, Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN) di Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Mashitah Mohd Udin berkata, BN dilihat mempunyai kelebihan sekiranya berlaku pertembungan satu lawan satu dengan PH.

Ini kerana katanya, dalam persaingan sedemikian, ia banyak bergantung kepada komposisi demografi setiap DUN.

"Di kawasan yang mempunyai pengundi Melayu sebagai majoriti besar, BN lazimnya mempunyai asas sokongan lebih kukuh, khususnya jika berjaya menyatukan undi tradisinya.

"Sebaliknya, di kawasan bandar atau separa bandar yang mempunyai komposisi pengundi berbilang kaum lebih seimbang, PH mempunyai kelebihan kerana kekuatan sokongan daripada pengundi bukan Melayu dan sebahagian pengundi muda," katanya.

Tambah beliau, pencalonan tokoh-tokoh utama seperti Anthony Loke, Mohamad Hasan dan Jalaluddin masih memiliki kelebihan berdasarkan pengaruh politik, pengalaman serta jaringan akar umbi yang telah dibina sejak sekian lama.

ARTIKEL BERKAITAN:

'Linggi bukan kerusi selamat, itu kubu kuat BN' - Aminuddin

DAP anggap Aminuddin panglima perang, pilih sebagai 'poster boy' PH

Jangan jadikan krisis institusi Diraja sebagai bahan kempen - PM

PRN Negeri Sembilan: Aminuddin tinggalkan Sikamat, bakal bertanding di Linggi

Menurutnya, selain mempertahankan kerusi masing-masing, kehadiran pemimpin berprofil tinggi itu turut memberi kesan limpahan kepada calon lain melalui faktor kepimpinan dan keyakinan pengundi terhadap parti.

Beliau juga berpandangan PRN Negeri Sembilan kali ini dijangka menyaksikan persaingan yang kompetitif walaupun terdapat beberapa kerusi dianggap selamat.

Ia dipengaruhi beberapa faktor, antaranya calon, kekuatan jentera, sentimen terhadap prestasi kerajaan dan keupayaan menarik pengundi atas pagar yang akan menjadi penentu utama.

"Dalam pilihan raya yang dijangka menyaksikan banyak pertandingan sengit, kemenangan tidak hanya bergantung kepada kekuatan jenama parti tetapi juga sejauh mana setiap gabungan mampu meyakinkan rakyat bahawa mereka menawarkan kepimpinan paling stabil, berwibawa dan mampu memenuhi aspirasi pengundi Negeri Sembilan," ujarnya.