PRN Sabah: BN kemuka dua calon doktor, Rahman Dahlan dan Arthur Kurup buat penampilan sulung

KOTA KINABALU - Barisan Nasional (BN) Sabah kali ini memberi kelainan dalam menampilkan calonnya apabila dua daripada 41 calon yang diumumkan adalah doktor perubatan.

Dua calon tersebut diwakili oleh Dr Elmiariezan Ardan yang akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas dan Dr Shahnon Rizal Thaijuddin pula bertanding di DUN Sulaman dipercayai menjadi saingan hebat kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang juga penyandang kerusi tersebut.

Selain itu, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin kekal bertanding di kerusi DUN Lamag manakala Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir bertanding di DUN Sungai Sibuga.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup yang juga Ahli Parlimen Pensiangan dan bekas Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan membuat penampilan sulung mereka dalam pertarungan kerusi DUN masing-masing di kerusi Sook dan Tempasuk manakala Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin membuat kemunculan semula dengan bertanding di DUN Bongawan.

BN Sabah turut mengemukakan dua calon wanita yang juga muka baharu dalam PRN kali ini iaitu bagi kerusi DUN Banggi iaitu Normalah Rasik dan DUN Nabawan, Laiji Ompongoh.

Bung Moktar dalam pada itu berkata, selaras dengan tekad membawa pembaharuan serta memperkukuhkan hala tuju pembangunan negeri, BN Sabah menampilkan dua calon doktor perubatan yang menjadi simbol kepakaran, integriti serta kemampuan profesional dalam memahami keperluan rakyat di lapangan.

"Pemilihan dua tokoh perubatan ini adalah bukti bahawa BN Sabah serius menampilkan calon berkualiti dari segi intelektual, kepakaran profesional, empati rakyat, serta kemampuan untuk memacu agenda sosial dan ekonomi yang lebih kompeten dan berwibawa.

"Barisan calon yang diketengahkan hari ini diperkukuh dengan tahap pendidikan tinggi, pengalaman luas dan keupayaan mengemudi perubahan.

"Majoriti calon kita memiliki ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah, dan dua daripadanya adalah doktor perubatan. Ini membuktikan bahawa BN bukan sahaja menawarkan calon berpengalaman, tetapi juga berwibawa dari segi intelektual dan profesional," katanya.

Beliau menegaskan bahawa BN Sabah membawa komitmen berterusan dalam memperjuangkan pembangunan negeri bermula daripada luar bandar, infrastruktur, peluang pekerjaan, peningkatan pendapatan rakyat serta memperkasa pendidikan dan modal insan.

"Insya-ALLAH, calon-calon ini mencerminkan tawaran menyeluruh untuk memastikan Sabah bergerak ke hadapan dengan lebih teratur, makmur dan inklusif.

"Dengan penuh rasa tanggungjawab dan keyakinan, BN Sabah percaya barisan calon kali ini merupakan kombinasi pengalaman, ilmu, kemampuan teknokrat dan semangat baharu yang diperlukan untuk membawa Sabah menuju masa depan yang lebih cerah dan berdaya saing," katanya.

Sementara itu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Datuk Ir Shahelmey Yahya dan ADUN Tanjung Batu Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy tidak disenaraikan sebagai calon PRN kali ini.

Kedua-dua bekas ADUN tersebut juga merupakan Ahli Parlimen BN yang telah digantung keahlian dalam parti susulan tindakan mereka yang menyokong kerajaan pimpinan Hajiji Noor pada tahun 2023.