PRN Sabah: PKR bertanding di 10 kerusi DUN - Anwar

KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan 10 calon yang akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Senarai kerusi yang ditandingi ialah DUN Inanam, DUN Api-Api, DUN Merotai, DUN Melalap, DUN Sindumin, DUN Tulid, DUN Gum-Gum, DUN Karamunting, DUN Segama, DUN Petagas.

"Jadi saya mengumumkan calon PH DUN Inanam, Datuk Peto Galim. Kita juga ada calon wanita iaitu bagi DUN Tulid, Datin Rufinah Pengeran. Ada juga tokoh pakar undang-undang iaitu bagi DUN Petagas, Awang Husaini Sahari.

"Kita tonjolkan tokoh ketua cabang ada ijazah, seorang yang cukup berdisiplin bagi DUN Segama, Romansa Lamin. Seorang yang ada pendidikan menjadi pengerusi persatuan nelayan kawasan dan ada diploma DUN Gum-Gum, Abdul Said Pimping.

"Seorang peguam muda lulusan luar negara dan ijazah sarjana iaitu DUN Api-Api Thonny Chee, seorang lagi calon bekas pegawai kanan kerajaan, paling senior dalam mana-mana calon iaitu DUN Merotai, Datuk Ruji Ubi. Aktif dalam NGO untuk calon DUN Melalap, Datuk Jamawi Jaafar.

"Bekas Timbalan Menteri Kewangan II, DUN Sindumin, Datuk Yamani Hafez Musa dan penasihat persatuan Hakka dan memiliki ijazah sarjana Pengurusan Perniagaan, penyandang DUN Karamunting, George Hiew," katanya semasa mengumumkan calon di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini pada malam Ahad.

Sebelum itu, beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) memaklumkan bahawa gabungan tersebut akan bertanding di sekitar 23 kerusi DUN Sabah pada PRN kali ini.

"Kita akan dengar pelbagai pandangan tapi mesti kita bicara berasaskan kenyataan. PH bertanding sekitar 23 kerusi, kita bukan berebut atas nama PH untuk membentuk kerajaan Sabah. Rakyat Sabah harus pilih, walaupun kerjasama kita mantap sesama GRS dan Barisan Nasional (BN) tetapi usaha kita memastikan kita ada perwakilan kuat menjamin hubungan baik antara kerajaan Sabah dan Persekutuan.

"Lebih penting hubungan kuasa kita sebagai wakil-wakil rakyat 23 orang itu menang supaya mereka menjadi suara, pembicara, penegak keadilan dan membetul kesilapan dan mengangkat martabat rakyat Sabah," katanya.