SHAH ALAM - Barisan kepimpinan Parti Amanah Negara (Amanah) yang bakal menerajui dan mengemudi parti itu diingatkan supaya tidak meninggikan suara ketika berbahas, sebaliknya memperkukuh penghujahan masing-masing.
Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kekuatan dalam sesebuah perdebatan bukan diukur melalui nada suara, sebaliknya pada hujah yang bernas dan berasaskan ilmu.
“Saya sering mengingatkan adik-adik saya, khususnya barisan kepimpinan yang bakal mengemudi parti ini supaya jangan tinggikan suara anda kalau tidak diperlukan, tetapi tinggikanlah penghujahan anda.
“Suara yang rendah tetapi berhujah dengan mantap tetap akan didengar oleh perwakilan,” katanya ketika berucap pada hari kedua Konvensyen Nasional Amanah 2025 di Dewan Raja Muda Musa, Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor di sini pada Ahad.
Sebelum itu, beliau melahirkan rasa syukur kerana perbahasan usul pada konvensyen kali ini berlangsung dengan penuh semangat meskipun terdapat sedikit pertikaian mengenai cara sesuatu usul dirumuskan dan diberi kedudukan dalam persidangan.
“Saya kira perbahasan yang dibangkitkan oleh perwakilan daripada negeri dan sayap-sayap parti mempunyai kelainan serta nilai tersendiri,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa sifat keterbukaan dalam mendengar pandangan adalah antara ciri orang beriman seperti yang diajar dalam Islam.
“ALLAH SWT mengingatkan bahawa orang beriman sentiasa bersedia mendengar pandangan manusia, namun mereka menyaring dan memilih yang terbaik,” katanya.
Terdahulu, usul berkaitan pemilihan parti yang dijadualkan berlangsung tahun hadapan antara yang menjadi perhatian pada hari kedua Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara (Amanah) 2025 di sini.
Suasana menjadi sedikit tegang apabila beberapa perwakilan mendesak agar usul tersebut dibahaskan segera.