BUKIT MERTAJAM - DAP menempelak sikap beberapa pemimpin pembangkang yang mendakwa projek Transit Aliran Ringan (LRT) tidak diperlukan di Pulau Pinang.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, kenyataan tersebut tidak sepatutnya datang daripada wakil rakyat terutama dari Pulau Pinang sendiri yang seharusnya memperjuangkan kemajuan negeri berkenaan.
Menurutnya, kenyataan mereka sebelum ini termasuk di Parlimen disifatkan sebagai cubaan sabotaj terhadap pembangunan untuk Pulau Pinang.
"Baru-baru ini di Parlimen, Ketua Pembangkang sendiri berkata rakyat Pulau Pinang tidak perlu LRT.
"Dia pun bukan orang Pulau Pinang, tetapi lebih menyedihkan, ada Ahli Parlimen dari Pulau Pinang sendiri yang turut berkata begitu," katanya ketika berucap pada Konvensyen Tahunan Negeri DAP Pulau Pinang di sini pada Ahad.
Anthony yang juga Menteri Pengangkutan, kenyataan sedemikian menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab dan pendek akal kerana projek LRT merupakan keperluan penting bagi memperkukuh sistem pengangkutan awam serta merangsang pertumbuhan ekonomi negeri.
"Apabila ada LRT yang menghubungkan Seberang Perai dengan pulau, ia akan mengintegrasikan ekonomi kedua-dua kawasan dan menaikkan taraf infrastruktur keseluruhan negeri.
"Kalau ada Ahli Parlimen yang berkata orang Pulau Pinang tak perlukan LRT, mereka memang tak layak jadi kerajaan, malah tak layak jadi wakil rakyat pun," ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Anthony turut menegaskan bahawa Kerajaan Perpaduan tidak pernah menafikan pembangunan di mana-mana negeri, termasuk Kelantan dan sentiasa mengekalkan keseimbangan dalam pelaksanaan projek nasional.
Tambah beliau, ketika zaman pihak pembangkang menjadi kerajaan dahulu, banyak projek untuk Pulau Pinang dibatalkan termasuk lapangan terbang, LRT dan kereta kabel.
"Namun kita dalam kerajaan sekarang tidak bersikap begitu. Kita bantu semua negeri tanpa mengira latar belakang politik," katanya lagi.
Beliau turut memaklumkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri telah mengarahkan jajaran LRT Pulau Pinang disambung sehingga ke Penang Sentral, sekali gus menjadikannya hab pengangkutan utama di utara tanah air.
"Memang Perdana Menteri sendiri mengarahkan supaya LRT ini sambung sampai ke Penang Sentral. Masa saya berunding berbincang dengan beliau, saya tak berani minta tambahan.
"Saya kata, biar Federal ambil alih dekat pulau pun kita sudah cukup happy...tapi Perdana Menteri, orang Pulau Pinang, dia kata saya anak Permatang Pauh, anak Cherok Tokun, kalau you buat kat pulau saja, macam mana saya nak balik kampung? Kena sambung sampai Penang Sentral.
"Sebab itu beliau mahu sambung sampai Penang Sentral dan kita amat alu-alukan," ujarnya.
Dalam pada itu, Anthony turut menyentuh mengenai beberapa projek penting lain yang diumumkan kerajaan termasuk projek penyuraian trafik Juru - Sungai Dua yang bakal menyelesaikan kesesakan di Lebuhraya Utara-Selatan, selain merancakkan pembangunan di kawasan Butterworth dan Seberang Perai.
Beliau berkata, dengan penyuraian trafik berkenaan, hubungan antara pulau dan kawasan perindustrian seperti Batu Kawan akan menjadi lebih lancar.
Tambahnya, semua projek berkenaan membuktikan komitmen kerajaan Madani untuk memastikan Pulau Pinang terus maju dan berdaya saing, selari dengan visi pembangunan negara.