Perjanjian Malaysia-AS: Taklimat bukan kaukus, jangan kelirukan rakyat - Radzi Jidin

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin menegaskan beliau tidak membangkitkan tentang taklimat sebaliknya menuntut penjelasan berhubung kaukus Parlimen mengenai pengenaan tarif timbal balas ke atas Malaysia oleh Amerika Syarikat (AS) yang masih belum dipanggil untuk bermesyuarat.

Mohd Radzi memberitahu, semasa sesi penggulungan Kementerian Perdagangan, Pelaburan dan Industri (MITI) oleh Timbalan Menteri, Liew Chin Tong pada Khamis lalu, beliau telah bertanyakan mengenai mesyuarat kaukus namun soalan itu tidak dijawab hingga sesi berakhir.

Menurutnya, tidak dinafikan beliau menerima satu jemputan taklimat ringkas oleh MITI berhubung perkara tersebut namun ia bukan kaukus.

"Jangan kelirukan rakyat. Saya bangkitkan tentang kaukus Parlimen, ada pula pusing bercakap tentang taklimat.

"Ada pihak yang cuba memberi gambaran seolah-olah saya tidak menceritakan perkara sebenar kerana telah ada taklimat yang diberikan oleh menteri dan pegawai MITI pada 19 Ogos 2025 kepada Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN).

"Namun, hakikatnya mesyuarat kaukus Parlimen mengenai pengenaan tarif timbal balas ke atas Malaysia oleh Amerika Syarikat tidak pernah dipanggil sehinggalah kerajaan mengumumkan bahawa Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-AS telah ditandatangani dengan AS pada 26 Oktober 2025," katanya menerusi Facebook pada Sabtu.

Sebelum ini, dalam sesi perbahasan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat berkenaan kesan pengumuman AS berkenaan tarif baharu import pada 5 Mei 2025, Ketua Pembangkang telah mencadangkan penubuhan satu kaukus Parlimen bagi membolehkan perbahasan dan perbincangan secara lebih mendalam berkaitan ART Malaysia–AS.

Kaukus tersebut harus melibatkan wakil ahli-ahli Parlimen kedua-dua belah pihak, kerajaan dan pembangkang.

Ketua Pembangkang memberikan contoh penubuhan kaukus Parlimen pada tahun 2015 semasa rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) melibatkan wakil ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang ketika itu.

Dalam sesi penggulungannya, menteri MITI menyatakan persetujuan beliau dengan cadangan tersebut.

Tambah Mohd Radzi, beliau juga mempersoalkan pendekatan yang berbeza semasa rundingan TPPA.

"Mengapa terburu-buru? Kalau TPPA dahulu kaukus Parlimen boleh bermesyuarat hingga 15 kali, kenapa kali ini langsung tidak dipanggil?

"Apa yang hendak disembunyikan kerajaan daripada kami? Kita bercakap tentang masa depan negara, apakah cukup dengan sesi taklimat ringkas selama sekitar satu jam 30 minit, termasuk makan tengaha hari

"Saya serahkan kepada rakyat untuk menilainya," ujarnya.