SHAH ALAM – Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad tampil memberi penjelasan terbuka berhubung dakwaan kehadirannya dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Beliau mengesahkan dakwaan tersebut namun menegaskan bahawa walaupun tidak memegang sebarang jawatan dalam parti, kehadirannya adalah atas jemputan rasmi dan bukan atas kehendak sendiri.
Beliau turut menjelaskan bahawa kehadirannya tidak pernah melangkaui batas sebagai ahli biasa.
"Sebagai ahli turut hadir, saya tidak bercakap dalam mesyuarat kecuali jika diminta. Atau kalau saya hendak bercakap, saya kena minta izin daripada pengerusi. Kalau tidak diizinkan, saya tidak bercakap.
"Sebagai ahli turut hadir, saya juga tidak mempunyai hak untuk mengundi. Jadi, saya tidak boleh mempengaruhi apa-apa keputusan MPT Bersatu.
"Saya tidak mempunyai apa-apa jawatan parti atas pilihan saya sendiri. Saya menganggap jawatan sebagai beban, lebih-lebih lagi jawatan politik. Saya tidak suka memikul beban," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Sebelum ini, menerusi program The Zaid Ibrahim Podcast, bekas pemimpin Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendedahkan bahawa Marzuki hadir dalam mesyuarat MPT Bersatu walaupun tidak memegang sebarang jawatan dalam parti.
Tambah Marzuki, walaupun tanpa jawatan, beliau telah banyak menyumbang kepada Bersatu termasuk ketika Wan Saiful belum pun menyertai parti.
Beliau berkata, dirinya banyak membantu parti sebagai penyelidik dan penganalisis dasar termasuk menyediakan input untuk manifesto serta menyertai rundingan pembahagian kerusi pilihan raya bersama parti-parti komponen Perikatan Nasional (PN).
"Apabila Datuk Wan belum menyertai parti, saya telah ditugaskan untuk menganggotai Jawatankuasa Menggubal Perlembagaan Parti," katanya.
Antara episod penting yang dikongsi Marzuki adalah berhubung rundingan sukar mendapatkan kerusi Tasek Gelugor daripada Pas semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kerusi yang akhirnya diberikan kepada Bersatu dan ditandingi oleh Wan Saiful sendiri.
"Kami dalam pasukan perunding terpaksa 'put our foot down' dengan Pas untuk mendapatkan kerusi Tasek Gelugor. Akhirnya, Bersatu diberikan laluan oleh Pas dan Datuk Wan menjadi calonnya," jelasnya.
Sambil menyindir, beliau berkata, sepatutnya Wan Saiful berterima kasih dan bukannya mempertikaikan kehadirannya dalam mesyuarat tertinggi parti.
Marzuki turut mendedahkan bahawa beliau pernah dilantik mengetuai Jawatankuasa Dasar dan Strategi Perikatan Nasional, namun menolak tanggungjawab tersebut kerana enggan terlibat dalam ‘politik strategi dalam strategi’.
"Saya fikir parti tidak perlu ada jawatankuasa khusus untuk memikirkan soal strategi. Dalam politik, selalunya banyak strategi dalam strategi. Kalau tidak diikut, hanya membuang masa," katanya.
Beliau turut mengakui bahawa kini jarang hadir ke mesyuarat parti walaupun dijemput kerana semakin muak melihat perangai segelintir ahli politik.
Marzuki juga menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai sebarang masalah peribadi dengan Wan Saiful, malah mendoakan kejayaannya.
"Datuk Wan tak perlu risau tentang kehadiran saya dalam mesyuarat tertinggi parti. Saya ucapkan selamat maju jaya kepada Datuk Wan Saiful Wan Jan," katanya.