Calon PRN Sabah, jangan ada sabotaj - Ahmad Maslan

PONTIAN – Berbaki seminggu sebelum Barisan Nasional (BN) mengumumkan senarai calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, ahli-ahli UMNO di negeri itu diseru supaya menerima keputusan pucuk pimpinan parti dengan hati terbuka.

Ketua Sekretariat War Room UMNO Pusat, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, proses pemilihan calon kini berada pada peringkat akhir dan keputusan dibuat selepas meneliti pelbagai pandangan serta pertimbangan daripada UMNO Sabah dan UMNO pusat.

“Saya berharap siapa pun yang telah diputuskan menjadi calon perlu diterima. Jangan ada sabotaj atau 'cah keting' yang hanya akan rugikan parti pada PRN kali ini.

"Keputusan mengenai calon dibuat oleh pimpinan di peringkat negeri dan juga pusat setelah menilai semua sudut," katanya selepas Festival Budaya Bugis di Tampok Darat, Benut pada Sabtu.

Ahmad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menegaskan menjadi calon bukan perkara mudah kerana kehidupan selepas itu bukan lagi milik diri dan keluarga semata-mata, tetapi untuk rakyat.

“Kalau dulu masa banyak untuk keluarga, selepas ini tiada lagi. Bila jadi calon, mereka perlu bekerja keras memastikan kemenangan. Saya ucapkan selamat berjuang kepada mereka yang dipilih,” katanya.

Beliau turut mengingatkan ahli yang tidak terpilih agar kekal setia dan memberi kerjasama kepada calon Barisan Nasional (BN) bagi memastikan kemenangan parti.

“Kepada yang tidak terpilih sebagai calon, jangan melakukan sabotaj kepada calon dan parti. Mungkin rezeki mereka akan tiba pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti,” ujarnya.

BN dijangka mengumumkan nama calon dan kerusi yang akan ditandingi pada PRN Sabah ke-17 seminggu sebelum hari penamaan calon

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, BN hanya akan meletakkan calon di kerusi DUN yang berpotensi boleh menang tinggi pada PRN berkenaan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRN Sabah ke-17 pada 15 November manakala tarikh undi awal pada 25 November dan tarikh undi pada 29 November.