PRN Sabah: Perbincangan kerusi BN-PH hampir 70 peratus dimuktamadkan - Bung Moktar

SANDAKAN - Perbincangan pembahagian kerusi antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 kini di fasa akhir dengan hampir 70 peratus dimuktamadkan, kata Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Beliau berkata masih terdapat beberapa kerusi yang perlu diperhalusi antara kedua-dua pihak bagi mencapai persetujuan bersama sebelum pengumuman rasmi dibuat.

"Ada lagi beberapa kerusi yang perlu diperhalusi antara BN dan PH. Insya-ALLAH saya akan berjumpa dengan pimpinan-pimpinan ini pada 3 atau 4 November ini untuk kita selesaikan,” katanya kepada pemberita pada Program Sentuhan Kasih Desa@Libaran di sini pada Sabtu. 

Menjawab pertanyaan mengenai isu kelewatan dimuktamadkan pembahagian kerusi, Bung Moktar menjelaskan ia berpunca daripada keinginan kedua-dua pihak untuk bertanding di kawasan tertentu dan beliau turut mengesahkan BN akan mengurangkan kerusi ditandingi.

Sebelum ini, laporan media menyatakan BN Sabah berhasrat untuk bertanding di 48 kerusi pada PRN kali ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh penamaan calon PRN Sabah pada 15 November ini manakala tarikh pengundian awal dan hari pengundian masing-masing pada 25 dan 29 November. - Bernama