Afdlin Shauki gesa pemimpin bentak wartawan, tekan media minta maaf

SHAH ALAM - Mana-mana menteri atau pemimpin yang menunjukkan kesombongan dengan membentak wartawan atau cuba menekan media digesa untuk tampil memohon maaf secara terbuka kepada individu terlibat dan rakan media.

Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Setiawangsa, Datuk Afdlin Shauki Aksan berkata, permohonan maaf bukan kelemahan sebaliknya tanda kematangan politik dan rasa hormat kepada rakyat.

Menurutnya, wartawan adalah sebahagian daripada rakyat dan pertanyaan mereka mewakili orang ramai.

Katanya, melayan wartawan dengan cara yang kasar, mengugut mahu mengadu kepada editor, atau seolah-olah mahu ‘mengajar’ media adalah bertentangan dengan nilai kepimpinan beradab yang menjadi asas perjuangan kerajaan Madani.

"Saya tidak bersetuju dengan gaya kepimpinan sebegitu. Rakyat menolak kerajaan lama bukan hanya kerana polisi mereka, tetapi kerana perangai segelintir pemimpin yang merasa kebal, menghina soalan wartawan dan menggunakan kuasa politik untuk menekan suara orang lain," katanya menerusi laman Facebook pada Sabtu.

Afdlin Shauki mendakwa tindakan pemimpin berkenaan yang marah apabila disoal wartawan seolah-olah mengulangi kesilapan pemimpin-pemimpin tertentu dalam kerajaan terdahulu.

"Kalau hari ini, ada pemimpin dalam kerajaan Perpaduan yang mula menunjukkan perangai yang sama iaitu marah apabila disoal, merendahkan wartawan, mengugut akan ‘telefon bos awak’, maka kita sedang mengulangi kesilapan sama yang kita sendiri pernah kutuk.

"Jika itu berlaku, rakyat akan mula hilang keyakinan terhadap kerajaan ini. Ini bahaya, bukan hanya untuk individu tertentu, tetapi untuk keseluruhan perjuangan kita," katanya.

Sebelum ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dilaporkan berang dengan soalan yang diajukan oleh seorang wartawan sebuah akhbar berbahasa Melayu sewaktu mengumumkan projek pencahayaan bandar ‘I Lite U’ di ibu negara.

Kejadian berlaku apabila wartawan itu bertanya mengapa tema projek tersebut menggunakan bahasa Inggeris dan bukan bahasa kebangsaan.

Tambah Afdlin Shauki, budaya buli wartawan tidak boleh dinormalisasikan.

"Kalau kerajaan lama buat begitu, kita marah. Kalau kita sendiri mula buat begitu, kita sudah hilang hak moral untuk bercakap tentang reformasi.

"Ini bukan isu kaum, bukan isu parti. Ini isu akhlak kuasa. Tidak kira Melayu, Cina, India, Sabah atau Sarawak. Sesiapa pun yang jadi menteri mesti tunjuk budi bahasa, merendah diri apabila ditanya dan bersedia menjawab dengan hujah, bukan dengan ugutan," ujarnya.