KOTA KINABALU - Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak pernah berdiam diri dalam menangani isu bekalan air di negeri ini termasuk di Papar, sebaliknya pelbagai usaha sedang giat dijalankan bagi menyelesaikan masalah legasi yang telah berlarutan puluhan tahun.
Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, dakwaan kononnya kerajaan GRS gagal menyelesaikan isu utiliti seperti air, elektrik dan jalan raya adalah naratif yang cuba dimainkan sesetengah pihak untuk meraih keuntungan politik menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
"Mereka kata GRS gagal selesaikan isu tiga serangkai, tetapi semasa mereka memerintah, selesaikah? Itu cerita yang dijual, lebih dramatik lagi dikongsi video dan gambar, maka disimpulkanlah GRS gagal.
"Isu ini bukan setahun, bukan lima tahun. Ia sudah berpuluh tahun. Maksudnya ini isu legasi yang kita warisi sekian lama, bukan baru muncul sekarang," jelasnya dalam satu hantaran video yang dimuat naik di laman Facebook rasminya pada Sabtu.
Menurut Ahli Parlimen Papar itu lagi, kawasannya sendiri berdepan kekurangan bekalan sebanyak 30 juta liter air terawat setiap hari apabila keperluannya mencecah 93 juta liter, namun loji rawatan sedia ada hanya mampu menghasilkan kira-kira 63 juta liter sehari.
Jelas Armizan, meskipun keadaan belum pulih sepenuhnya, kerajaan sudah memulakan beberapa solusi utama termasuk projek menaik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon Fasa 2 yang kini menunjukkan perkembangan positif.
"Kontraktor sudah dilantik dan Ketua Menteri sendiri turun buat pecah tanah pada Ogos 2023. Dua tahun sudah berjalan dan insya-ALLAH siap penghujung 2026," katanya sambil memaklumkan kemajuan projek mencapai 59.39 peratus setakat 25 Oktober 2025.
"Selain meningkatkan kapasiti air terawat, muka sauk alternatif di Kampung Kabang turut dibangunkan bagi mengatasi isu kadar klorida tinggi yang memaksa dua loji di Limbahau dihentikan sementara ketika musim kemarau.
"Apabila kandungan air masin tinggi, loji terpaksa 'shutdown'. Sebab itu kita perlu sumber alternatif supaya loji terus beroperasi," katanya.
Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu lagi, projek muka sauk berkenaan telah bermula pada Mac lalu dan kini mencatat kemajuan 36.92 peratus, dengan jangkaan siap pada awal tahun depan.
"Saya mohon maaf kerana saya tidak ada lampu ajaib untuk siapkan projek dalam masa singkat. Tapi kerja sedang berjalan dan saya sendiri pantau supaya siap ikut jadual," katanya.
Sehubungan itu, beliau turut menyeru penduduk Papar agar terus memberi mandat kepada GRS bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan rakyat.